Maklum balas segera terhadap isu hangat antara misi Suriani

Bernama
Julai 1, 2019 06:16 MYT
Suriani memulakan tugas sebagai KSU KKMM yang baharu berkuatkuasa Isnin. - Foto BERNAMA
Maklum balas segera terhadap sesuatu isu yang berlaku dalam negara antara perkara yang akan diambil perhatian oleh Datuk Suriani Ahmad yang dilantik sebagai Ketua Setiausaha baharu Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Beliau melihat pada masa ini 'response time' terhadap isu yang dibangkitkan agak perlahan sedangkan permasalahan itu memerlukan penjelasan pada kadar segera.
"Mungkin bukan daripada kementerian sendiri (KKMM) tetapi isu daripada kementerian masing-masing atau jabatan masing-masing, di mana 'response time' terlampau perlahan sedangkan isu itu terlalu hangat dan kita perlu uruskan permasalahan itu dengan kadar segera," katanya kepada pemberita di Angkasapuri di sini, pada Isnin.
Terdahulu beliau mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo di pejabat menteri di Wisma TV.
Ditanya mengenai butiran perbincangan bersama menteri itu, Suriani berkata antara perkara yang menjadi perhatian adalah berkaitan usaha memodenkan institusi penerangan, komunikasi dan multimedia.
"Kita sudah masuk satu fasa baharu dalam pemerintahan negara di mana segala-galanya perlu cepat, segera dan perlu dalam bentuk yang lebih moden. Saya akan berusaha bersama-sama yang berhormat Menteri untuk memacu kementerian ini," katanya.
Mengulas cabaran sebagai antara KSU wanita termuda, beliau berharap warga KKMM mengetepikan isu jantina dan usia demi memantapkan jentera kementerian.
Suriani turut berkongsi perancangan untuk turun padang bagi mengetahui lebih lanjut fungsi jabatan dan agensi di bawah KKMM.
"Semasa saya di luar kementerian ini, banyak juga isu yang berkait rapat dengan jabatan dan agensi KKMM yang diluahkan. Inilah masa untuk saya meneliti isu-isu yang menjadi persoalan, sesuatu yang tidak terungkaikan dulu dan kenapa sesuatu itu berlaku," katanya.
Suriani memulakan tugas sebagai KSU KKMM yang baharu berkuatkuasa Isnin.
Suriani, 50, sebelum ini Pengarah Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).
Beliau juga pernah menyandang jawatan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) pada November 2017.
Anak jati Perlis ini berkelulusan Sarjana Muda Komunikasi (Kepujian) Universiti Sains Malaysia (USM) dan Sarjana Strategi dan Diplomasi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Sepanjang khidmat, Suriani juga pernah menjawat jawatan penting di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Kementerian Pertahanan.
Terdahulu, Suriani tiba kira-kira pukul 8.30 pagi mengetip kad perakam waktu di lobi KKMM di Putrajaya.
-- BERNAMA
#Gobind Singh Deo #keluarga #Kementerian Komunikasi dan Multimedia #Ketua Setiausaha baharu #KSU wanita termuda #Malaysia #menteri #Perlis #Putrajaya #response time #Suriani Ahmad #turun padang
;