Makin rancak rakyat Malaysia ingin berpoligami ke selatan Thailand
Muhafandi Muhamad
Mac 6, 2023 08:21 MYT
Mac 6, 2023 08:21 MYT
NARATHIWAT, THAILAND: Selatan Thailand terus menjadi destinasi pilihan lelaki dari Malaysia yang berhasrat untuk berpoligami.
Berdasarkan maklumat daripada Majlis Agama Islam Wilayah Narathiwat, sekurang-kurangnya 30 pasangan dari Malaysia melangsungkan pernikahan mereka di selatan Thailand setiap bulan.
Menurut pihak berkuasa itu, selepas sempadan dibuka, pasangan yang ingin berpoligami atau mendapat tentangan keluarga kembali menjadikan selatan negara jiran itu sebagai tempat untuk mereka melangsungkan pernikahan.
“Alhamdulillah, tak semacam belum COVID-19… ramai dah mulai masuk (selatan Thailand). Ada sebahagian (pasangan) pergi ke Songkla, tapi dikatakan mulai ada, yang daftar nikah itu tak sampai 50 (pasangan) sebulan,” kata Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Wilayah Narathiwat, Abd Aziz Che Mamat.
Beliau berkata, majlis agama Islam tidak menjalankan pernikahan pasangan dari Malaysia sewaktu sempadan kedua-dua negara ditutup berikutan penularan wabak COVID-19.
Bagaimanapun, Abd Aziz berkata, terdapat pasangan yang didakwa melangsungkan akad nikah mereka menggunakan ejen nikah yang beroperasi di sempadan.
Beliau berkata, ejen nikah yang beroperasi di sempadan dengan mengenakan caj sehingga RM5,000 ke atas pasangan.
Apa yang dikesalkan, jelasnya, kebanyakan pernikahan itu tidak berdaftar dengan Majlis Agama Islam Thailand selain terdapat kelemahan dalam beberapa aspek menyebabkan urusan nikah mereka tidak sah.
Sehubungan itu, Abd Aziz memohon kerajaan Malaysia melonggarkan syarat bagi pasangan negara itu yang ingin bernikah di selatan Thailand dengan tidak perlu mendapatkan pengesahan daripada Konsulat Malaysia di Songkla.
Ini kerana, menurutnya, pengesahan daripada Konsulat di Songkla menyebabkan ramai pasangan Malaysia yang bernikah di Thailand tidak mendaftarkan pernikahan mereka sehingga menimbulkan kesulitan pada masa depan.
Syarat keperluan mendapatkan pengesahan dari pejabat Konsulat Malaysia di Songka mulai dilaksanakan pada tahun 2015.
Mana-mana pasangan Malaysia yang bernikah dan kemudian berdaftar dengan Majlis Agama Islam di mana mana wilayah di Thailand memerlukan pengesahan daripada kedutaan.
Kegagalan mendapatkan pengesahan itu menyebabkan pernikahan pasangan berkenaan tidak boleh didaftarkan di Malaysia.