Makin nak Raya, harga daging makin naik
Astro Awani
Mei 11, 2021 15:38 MYT
Mei 11, 2021 15:38 MYT
KEPALA BATAS: Harga daging lembu segar tempatan di sekitar Kepala Batas di sini dijual pada harga RM40 sekilogram, dipercayai melebihi harga siling RM34 sekilogram yang ditetapkan kerajaan mengikut Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2021 (SHMMP2021).
Peniaga di pasar awam di Kepala Batas dan gerai jualan daging tempatan di Permatang Buloh, Tasek Gelugor mendakwa mereka terpaksa menampung kos yang tinggi.
“KPDKK memberi harga kawalan RM34, arahan kita ikut dan bagi harga RM34 daging campur lemak, tetapi harga RM40 untuk daging solid, KPDNKK dah mai dah, saya dah terangkan semua termasuk sebab (harga) tinggi," menurut peniaga daging, Ahmad Osman.
Menurut Mohd Azizi, harga yang dikenakan kepada pelanggan adalah disebabkan sambutan Hari Raya dan kenaikan itu adalah disebabkan musim perayaan kerana modal yang digunakan adalah tinggi berbanding biasa.
SHMMP2021 | Harga daging dijual RM40 sekilogram di Pulau Pinang
"Jualan itu sebab hendak sambutan, jadi tinggi sikit lah, harga jualan tu kami diminta untuk jual pada harga RM32, RM34 tetapi harga lembu tinggi daripada harga yang dikawal, kami terpaksa jual RM40, modal pun dah tinggi," kata Mohd Aziz.
Tinjauan Astro AWANI turut mendapati, pembeli turut maklum berhubung harga siling yang ditetapkan kerajaan.
Namun, kebanyakan dari mereka memilih kualiti bahan basah demi kepuasan berbanding harga.
Menurut seorang pelanggan, Norhatina Md Salleh, walaupun harga daging tempatan adalah berbeza, dia tidak keberatan untuk berbelanja lebih.
Seorang peniaga makanan, Radzi Sudin juga berkata harga RM40 sekilogram berbanding dengan RM40 yang dijual peniaga adalah berpatutan.
“Kalau diikutkan harga ini okay dan lebih kurang sama dibandingkan dengan tempat lain,” kata Radzi.
Selain harga daging, tinjauan Astro AWANI di pasar sama mendapati harga ayam dijual pada harga siling iaitu RM7.90 sen sekilogram.
Bahan mentah adalah antara 32 jenis barangan diletakkan dalam senarai SHMMP2021 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Ia berkuatkuasa selama hingga 20 Mei ini.
#KPDNKK
#Harga daging
#Sambutan Hari Raya Aidilfitri
#harga daging tinggi
#SHMMP
#peniaga daging
#konsumer