Makin kuat desakan dunia, lagi cepat Netanyahu diheret ke ICC - Syed Ibrahim
Khalis Khadir
November 29, 2024 19:50 MYT
November 29, 2024 19:50 MYT
KUALA LUMPUR: Jangan putus harapan dan terus yakin bahawa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pasti akan dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas dakwaan jenayah perang.
Ketua Kaukus Palestin Parlimen Malaysia, Syed Ibrahim Syed Noh menganggap, sikap masyarakat dunia yang sebenarnya menjadi penentu kerana setiap desakan pasti menatijahkan hasil.
“Saya rasa ini adalah perjuangan berterusan yang harus kita hadapi dan bagi saya perkembangan terkini dalam undang-undang antarabangsa memberikan harapan cerah, pengeluaran waran tangkap oleh ICC untuk Netanyahu adalah isyarat utama bahawa tiada sesiapa yang melangkaui undang-undang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Persidangan Antarabangsa Ketiga Mengenai Kajian Palestin (ICPS) 2004 di Kuala Lumpur pada Jumaat.
Berkongsi pengalaman menjadi mangsa kezaliman Zionis, Muhammad Shehada yang merupakan rakyat Gaza berkata, serangan Israel sejak 7 Oktober tahun lalu adalah paling dahsyat pernah dialaminya.
“Pada dasarnya, apa yang sedang berlaku sekarang adalah jauh lebih buruk daripada jika kita menggabungkan semua peristiwa dalam dua dekad yang lalu mengikut mana-mana ukuran yang anda pilih, ia memang benar-benar genosid.
“Jika anda memilih angka, jumlah wartawan yang maut kali ini adalah yang tertinggi sebanyak tiga kali ganda daripada semua wartawan yang terbunuh dalam Perang Dunia Kedua atau dalam perang selama 20 tahun di Vietnam sebelum ini,” ujarnya.
Pensyarah Kulliyyah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Mohammed El-Shobake sebagai panel terakhir dalam sesi pertama menyimpulkan, sejak 7 Oktober 2023 lagi Israel patut didakwa kerana ia mencukupi kesemua kriteria jenayah perang.
Pada minggu lalu, waran tangkap bukan hanya dikeluarkan kepada Netanyahu, malah ia turut menamakan bekas Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant atas dakwaan jenayah kemanusiaan dan perang di Gaza.
Waran tangkap terbaharu yang dikeluarkan ICC itu turut melibatkan Ketua Hamas, Ibrahim al-Masri.