Maki polis, penggali kubur dipenjara

Shuhada Abdul Kadir
Februari 19, 2019 17:33 MYT
Zamin didapati menghalang tugas anggota polis trafik, Koperal Ishak Deros yang sedang menjalankan tugas mengeluarkan saman terhadap tertuduh. - BERNAMA/Fail
Gara-gara menghamburkan kata-kata kesat dan menghalang tugas anggota polis, seorang penggali kubur dipenjara sehari dan didenda RM2,060 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini.
Tertuduh, Zamin Zakaria, 40 tahun, dijatuhkan hukuman itu sejurus dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di dua mahkamah berasingan di hadapan Majistret Mohd Firdaus Saleh dan Teoh Shu Yee.
Mengikut pertuduhan pertama di hadapan Mohd Firdaus, Zamin didapati menghalang tugas anggota polis trafik, Koperal Ishak Deros yang sedang menjalankan tugas mengeluarkan saman terhadap tertuduh.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Tertuduh juga turut didapati menghina Koperal Ishak dengan menggunakan perkataan-perkataan kurang sopan yang boleh memecahkan keamanan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 yang boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM100.
Kedua-dua kesalahan itu dilakukan sekitar pukul 3 petang di hadapan Pejabat Pos di Jalan Laksamana pada 16 Nov lalu.
Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Lyiana Zainal Abidin dan Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap Zamin.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu agar hukumannya diringankan dengan alasan dia hanya bekerja sebagai penggali kubur dan telah meminta maaf secara peribadi kepada anggota polis berkenaan.
Mohd Firdaus kemudian menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM2,000 atau dua bulan penjara jika gagal bayar bagi pertuduhan pertama.
Bagi pertuduhan kedua pula, Shu Yee memerintahkan Zamin membayar denda RM60 atau sebulan penjara jika gagal bayar.
#penggali kubur #saman polis
;