'Makcik sangat rindukan anak-anak,' luah ibu dua lelaki yang maut sebelum Ramadan

Bernama
Jun 15, 2016 11:22 MYT
Ibu kepada dua mangsa kemalangan, Patimah Md Kayos, 50, menunjukkan selfie terakhir anaknya sebelum terlibat dalam kemalangan pada 22 Mei lepas, ketika ditemui di rumahnya di Melaka, Selasa. - Foto Bernama
"Makcik sangat rindu dengan anak-anak. Puasa tahun ini sangat berbeza tanpa mereka," kata Patimah Md Kayos, 50, ibu kepada dua lelaki mangsa kemalangan di KM228 Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke utara yang meninggal dunia pada 22 Mei lepas selepas dikejarkan ke Hospital Seremban.
Ibu tunggal kepada 14 anak itu tidak menyangka anak keduanya Mohamad Ma'arof Shadik Mohamed, 38 dan kesebelas, Alam Iqbal, 20, pergi meninggalkannya setelah doktor berusaha menyelamatkan kedua-dua mereka yang kritikal.
"Makcik masih terkenang dengan telatah mereka. Mereka selalunya akan berbuka (puasa) di Melaka pada hari pertama dan kedua, selalunya lauk kegemaran mereka bila berbuka ialah udang sambal.
Tidak ada apa perubahan yang ketara pada mereka sebelum kejadian tetapi sebelum balik mereka sempat berselfie bertiga di atas motor," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini hari ini.
Dalam kemalangan kira-kira 3.30 petang itu, sebanyak 79 kenderaan telah dikenal pasti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggunakan lorong kecemasan sehingga menjadi antara punca ambulans lewat tiba untuk memberi bantuan kecemasan di lokasi kemalangan berhampiran susur keluar lebuh raya itu di Simpang Ampat, Alor Gajah.
Patimah berkata ketika kejadian dua anaknya itu bersama seorang anak kesembilan Muhammad Najib, 24, menaiki dua motosikal dari rumah mereka di Kilometer 11.2 Kampung Solok Gaung Ayer Molek di sini untuk pulang Kuala Lumpur.
Beliau berkata bagaimanapun perbualannya bersama Alam Iqbal sebelum bertolak ke Kuala Lumpur dengan menaiki motosikal bersama Mohamad Ma'arof mengundang rasa pelik di hatinya.
Katanya Alam Iqbal yang sedang menuntut di Universiti Putra Malaysia menolak ketika beliau menghulurkan duit RM250 kepadanya untuk duit belanjanya.
"Makcik hulur Alam (Iqbal) RM250 tapi ditolaknya kerana katanya tidak perlukannya namun selepas makcik kata duit tu guna untuk beli makan dan keperluan lain, akhirnya Alam ambik RM200. Dia juga bersalaman dengan makcik dua kali dan memeluk erat sehingga makcik rasa kelainannya," katanya.
Mengimbau kembali kemalangan yang menimpa dua anaknya itu, beliau berkata dia bergegas ke Hospital Seremban sebaik dimaklumkan kejadian menimpa anaknya itu namun sebaik tiba di hospital kira-kira 7.30 malam, beliau dimaklumkan keadaan kedua-dua anaknya itu dalam keadaan kritikal.
Patimah berkata dia kemudiannya diminta untuk menandatangani surat kebenaran untuk pembedahan Alam Iqbal namun selepas setengah jam doktor memaklumkannya bahawa keadaannya anaknya itu sangat kritikal dan tidak dapat diselamatkan.
"Lagi menyedihkan apabila makcik tanya keadaan anak lagi satu tetapi doktor kata tidak dapat juga diselamatkan kerana jantungnya tidak memberi sebarang respon ketika rawatan dijalankan," katanya.
Dia berkata insiden berkenaan perlu menjadi iktibar kepada semua pemandu di negara ini agar tidak menggunakan lorong kecemasan dengan sewenang-wenangnya sehingga melewatkan atau mendatangkan masalah kepada usaha menyelamatkan nyawa mangsa kemalangan.
#alam iqbal #anak lelaki #ibu tunggal #meninggal dunia #mohamad ma'arof shadik mohamed #patimah md kayos
;