Makanan Korea dirampas

Sinar Harian
Ogos 21, 2024 12:15 MYT
Pegawai Maqis Selangor memeriksa produk sejuk beku yang dirampas di Pelabuhan Barat, Klang, Jumaat lalu.
PELABUHAN KLANG: Sebuah kontena yang membawa muatan pelbagai makanan sejuk beku dari Korea tanpa mempunyai permit import sah ditahan di Pelabuhan Barat, di sini, Jumaat lalu.
Pengarah Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Selangor, Mohd Sobri Md Hashim berkata, produk makanan itu antaranya membabitkan sosej, rumpai laut, aiskrim dan ikan bilis beku bernilai RM10,125.17.
"Kesemua dagangan tersebut cuba dibawa masuk oleh sebuah syarikat tempatan namun ditahan di pintu masuk Pelabuhan Barat.
"Pemeriksaan telah dilaksanakan terhadap kontena tersebut kira-kira jam 10.30 pagi dan mendapati dagangan yang dibawa masuk itu tidak mempunyai permit import yang sah dikeluarkan oleh Maqis," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya sekali.
Jelasnya, tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperluaskan di semua pintu masuk negara bagi memantau dan memeriksa setiap keluaran pertanian.
“Ini bagi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar serta mematuhi syarat dan peraturan yang telah ditetapkan,” katanya. - Sinar Harian
#Korea Selatan #rampasan makanan #maqis #makanan korea