Makanan dibuang rakyat Malaysia boleh penuhi Menara Berkembar Petronas
Irfan Faruqi
Mac 30, 2023 13:44 MYT
Mac 30, 2023 13:44 MYT
KUALA LUMPUR: Hanya dalam tempoh dua minggu sikap buruk rakyat Malaysia yang suka membuang sisa makanan mampu memenuhkan setiap ruang dalam Menara Berkembar Petronas.
Pengasas Bersama What a Waste, Alvin Chen berkata pembaziran ini sewajarnya dihentikan dan ia merupakan tanggungjawab semua pihak.
“Bayangkan setiap dua minggu jumlah makanan yang dibuang oleh rakyat Malaysia boleh memenuhi Menara Berkembar Petronas, sehingga penuh setiap tingkat.
“Manakala, jumlah makanan dari segi tan memadai untuk menghapuskan kebuluran atau poverty hunger. Kalau kita fahami konsep ini kita sedar bahawa kesejahteraan bumi adalah misi semua pihak,” katanya dalam program Agenda AWANI.
Oleh itu, Alvin berkata tanggungjawab menghentikan pembaziran ini mesti digalas semua pihak dalam rantaian makanan dalam negara. Ini termasuk pembuat dasar sehinggalah pengguna akhir.
Dalam pada itu, Alvin juga menggesa pengguna bersikap sensitif dengan makanan yang dibeli.
Katanya, pengguna perlu memastikan makanan yang dibeli sesuai dengan keperluan dan tidak dibazirkan.