Makan sedulang semasa PKP, Zahid dan Saifuddin didakwa langgar SOP
Asyraf Roslan
Julai 13, 2021 11:14 MYT
Julai 13, 2021 11:14 MYT
KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi didakwa telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) bersama Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dengan menikmati hidangan di sebuah restoran ketika negara sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pendedahan itu dilakukan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa melalui satu kemas kini di akaun Twitter miliknya lewat malam Isnin.
Menurut ciapan yang dimuat naik Ahli Parlimen Ketereh itu, makan di dalam dulang memang sedap lebih-lebih lagi apabila menikmatinya di restoran.
"Makan sedulang memang sedap...Lebih-lebih lagi kalau dapat dining di restoran musim PKP," tulis Annuar.
Pada masa sama, gambar yang dikongsi oleh Annuar turut memaparkan Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul menyertai sesi tersebut.
Terdahulu, Annuar pada Isnin telah dikompaun RM2,000 selepas polis mendapati beliau melanggar SOP kerana berkunjung ke kediaman bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Sabtu lalu.
Tan Sri Annuar Musa dikompaun kerana berkunjung ke Bait Badawi