Makan mayat: 'Jangan hampiri beruang liar' - Perhilitan ingatkan penduduk Pos Balar
Bernama
Januari 9, 2023 06:00 MYT
Januari 9, 2023 06:00 MYT
KOTA BHARU: Penduduk kampung termasuk masyarakat Orang Asli yang tinggal berdekatan Pos Balar, Gua Musang diingatkan agar tidak sesekali menghampiri beruang liar sekiranya ternampak kelibat haiwan itu.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan Mohamad Hafid Rohani berkata ia demi menjaga keselamatan penduduk serta memastikan keadaan persekitaran tidak diancam bahaya.
"Ketika ini laluan untuk memasuki ke kawasan terbabit agak sukar berikutan jalan agak teruk akibat faktor cuaca yang tidak menentu.
"Oleh itu, Perhilitan akan masuk ke kawasan itu pada Selasa yang akan mengambil masa kira-kira lima jam, namun ia masih bergantung kepada keadaan cuaca," katanya ketika dihubungi Bernama, pada Isnin.
Mohamad Hafid berkata sekiranya pihaknya berjaya masuk ke kawasan berkenaan, langkah yang akan dilakukan termasuk memasang lampu diod pemancar cahaya (LED) bagi menghalau beruang liar berkenaan dan memasang perangkap.
Sebelum ini, media melaporkan dalam dua kejadian berasingan, kelibat beruang liar dikesan di perkampungan masyarakat Orang Asli dekat Kampung Dakoh dan Kampung Perawas, Pos Balar yang dipercayai bukan sahaja memakan durian dari kebun penduduk, malah berkemungkinan turut menggali kubur dan memakan mayat yang dikebumikan di situ.
-- BERNAMA