Makan Kongsi 2.0: RM500,000 diperlukan untuk bantu golongan miskin

Faris Danial Razi
Jun 7, 2021 05:45 MYT
Inisiatif Makan Kongsi yang bertujuan memberi sumbangan makanan kepada golongan miskin diteruskan kali ini ketika negara melaksanakan sekatan pergerakan penuh. -Facebook Makan Kongsi 2.0
KUALA LUMPUR: Inisiatif Makan Kongsi yang bertujuan memberi sumbangan makanan kepada golongan miskin diteruskan kali ini ketika negara melaksanakan sekatan pergerakan penuh atau ‘total lockdown”.
Kali ini, kempen yang diusahakan oleh Bersih, The Good Kitchen, dan Engage menyeru rakyat Malaysia untuk sama-sama membantu menghulurkan sumbangan keperluan asas kepada sekurang-kurangnya 30,000 individu.
“Kami menyeru masyarakat Malaysia, baik individu dan korporat untuk turut serta dengan murah hati sekali lagi dengan memberi sumbangan kepada Makan Kongsi 2.0.
“Dengan berpegang kepada semangat #KitaJagaKita, kami ingin memastikan bahawa tidak ada yang kelaparan dalam masa-masa yang sangat mencabar ini.
"Kami ingin mengumpulkan RM500,000 dari sekarang hingga akhir Julai untuk menyediakan keperluan asas kepada sekurang-kurangnya 30,000 individu.
“Melibatkan kelompok rentan seperti miskin bandar dan pedalaman, nelayan, Orang Asli, pekerja migran dan pelarian yang berada di seluruh negara," kata tiga pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) itu dalam satu kenyataan pada Isnin.
Pelaksanaan inisiatif itu telah dibuat sejak 1 Jun lalu dan dijangka dilaksanakan untuk tempoh sekurang-kurangnya dua minggu.
Kempen Makan Kongsi ini telah pun dijalankan ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) pertama tahun lalu dan telah berjaya meraih kutipan sehingga RM565,000.
Ketika itu, ia digerakkan bagi membantu kira-kira 51 NGO dan juga kegiatan komuniti untuk mengagihkan makanan dan keperluan asas kepada masyarakat yang memerlukannya.
Inisiaitif gabungan tiga NGO itu akan diketuai syarikat sosial The Good Kitchen dan kumpulan hak asasi manusia Engage.
Manakala, Bersih berperanan sebagai rakan kongsi dalam memastikan ketelusan sewaktu kerja-kerja pengendalian dana itu dilakukan.
Bagi anda yang ingin menyalurkan bantuan untuk menjayakan MakanKongsi 2.0, sumbangan boleh dibuat seperti butiran di bawah:
Nama: Engage Network
Bank: Public Bank Berhad
No Akaun: 3816630332
Rujukan: MakanKongsi 2.0
#golongan miskin #Makan Kongsi 2 0 #total lockdown #PKP #sekatan pergerakan penuh #sumbangan #keperluan asas #perintah kawalan pergerakan #COVID-19 #pandemik
;