Makan besar: Ramai patuh SOP - Polis Pulau Pinang

Dewi Nur Harasha Alias
Februari 11, 2021 05:26 MYT
Superintendan V Saravanan berkata pemantauan dibuat petang semalam bagi memastikan setiap kediaman tidak menerima tetamu lebih daripada 15 orang. - BERNAMA
GEORGE TOWN: Pemantauan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke kawasan perumahan di sekitar Jelutong, Pulau Pinang semasa acara makan besar perayaan Tahun Baharu Cina malam tadi mendapati kebanyakan masyarakat Tionghua mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V Saravanan berkata, operasi pemantauan itu bagi memastikan setiap kediaman tidak menerima tetamu lebih daripada 15 orang.
Katanya, Ops Pemantauan SOP yang dijalankan itu melibatkan kira-kira 40 buah rumah di daerah Timur Laut.
Katanya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati kesemuanya mematuhi SOP yang ditetapkan bagi acara berkenaan.
"Anggaran rumah yang diperiksa adalah 30 hingga 40 rumah dengan kekuatan 74 anggota termasuk RELA.
"Pasukan ini akan pantau sehingga 14 Februari. Setakat ini semua ikut SOP. Pemantauan di kawasan pasar pagi tadi (semalam) juga dapati semua patuh SOP," katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan pemantuhan SOP Tahun Baharu Cina di kawasan perumahan Taman Hijau, Jelutong, Pulau Pinang.
Sementara itu, tinjauan mendapati rata-rata masyarakat Cina mengadakan acara makan besar dalam suasana sederhana.
Bagi mereka, SOP tetap menjadi keutamaan dan akur dengan arahan kerajaan yang hanya membenarkan 15 ahli keluarga berkumpul di sesebuah rumah.
Malah mereka juga menghargai tugas pihak polis yang sentiasa menjaga keselamatan penduduk demi memastikan mereka patuh SOP agar terhindar daripada penyakit COVID-19.
#polis #pulau pinang #Makan besar #Tahun Baharu Cina #Timur Laut #V Saravanan #pemantauan #SOP
;