Mak Yong muncul semula di Kelantan selepas 28 tahun
Astro Awani
September 21, 2019 06:29 MYT
September 21, 2019 06:29 MYT
Seni persembahan Mak Yong buat julung kali dipersembahkan kembali kepada umum selepas ia diharamkan sejak tahun 1991.
Hampir 30 tahun Mak Yong diharam untuk dipentaskan oleh kerajaan negeri Kelantan kerana ia didakwa mempunyai unsur khurafat dan pemujaan.
Namun, selepas melalui proses pengubahsuaian kandungan dialog dan mendapat kelulusan dari kerajaan negeri dan Jabatan Mufti Kelantan Mei lalu, akhirnya Mak Yong membuat kemunculan semula, malam tadi.
Menurut Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan, Mohamed Raizuli Mat Jusoh, persembahan Mak Yong merupakan khazanah warisan yang diktiraf Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan (Unesco) sebagai seni warisan dunia.
“Malam ini (Sabtu) kita dapat saksikan teater dipentaskan secara rasmi setelah mendapat pengiktirafan kerajaan negeri dengan surat bertarikh 24 Mei 2019 oleh Mufti Kelantan yang membenarkan Mak Yong patuh syariah dimainkan.
“Buat julung kali kita pentaskan kepada umum di Dewan Auditorium JKKN,” katanya, di sini.
Kata beliau, elemen tradisional persembahan melibatkan watak dan alatan muzik pakaian masih dikekalkan.
Namun, jelasnya perubahan yang dibuat adalah tidak melibatkan wanita dan pengubahsuaian dialog dengan ciri-ciri patuh syariah seperti yang dikehendaki oleh kerajaan Kelantan.
Mohamed Raizuli menambah pihaknya akan menjadikan Mak Yong yang melalui proses pengubahsuaian ini sebagai satu lagi tarikan baru kesenian di Kelantan, selain dikir barat, wayang kulit dan sebagainya.
Terdahulu, pementasan Mak Yong tersebut berkisar kisah Raja Besar Ho Gading.
Mengikut catatan awal, Mak Yong mula diperkenalkan di Istana Raja Perempuan Pattani pada tahun 1613 dan dibawa masuk ke Kelantan ketika pemerintahan Sultan Mahmud IV sekitar tahun 1900.
#alat muzik
#Budaya Kelantan
#dialog
#elemen tradisional
#haram
#Kelantan
#kelulusan
#kerajaan negeri
#kesenian
#Khazanah
#khazanah warisan
#khurafat
#mak yong
#Mohamed Raizuli Mat Jusoh
#pakaian
#Pas Kelantan
#patuh syariah
#pementasan
#pengubahsuaian
#Unesco