'Mak, tak perlu 'repair' basikal lama, kita dah dapat yang baru'
Harits Asyraf Hasnan
Januari 4, 2016 19:15 MYT
Januari 4, 2016 19:15 MYT
Kami di Astro AWANI menerima pelbagai respon positif termasuk daripada individu, badan korporat serta badan bukan kerajaan yang ingin menyalurkan bantuan susulan laporan eksklusif berkenaan kisah hidup ibu tunggal beranak 14, Azizah Ashaari.
Hari ini boleh dianggap antara hari yang menyimpan memori yang amat menggembirakan bagi lima anak beliau.
Dalam laporan sebelum ini, Azizah mengakui kadang-kala anak-anaknya mengeluh apabila basikal yang digunakan untuk ke sekolah sering kali rosak dan mengambil masa yang lama untuk dibaiki.
Akibat kesempitan hidup, Azizah kadang kala terpaksa berdiam diri dan hanya mampu melihat riak wajah sedih anak-anaknya itu.
Kami cuba merasai keluhan itu di mana anak-anaknya yang bersekolah menengah terpaksa berjalan kaki hampir tujuh kilometer setiap hari, pergi dan balik dari sekolah yang terletak di Seksyen 16, Shah Alam.
Sementara yang bersekolah rendah pula, mereka perlu berjalan kaki dan kadang kala mendapat simpati jiran untuk menumpangkan mereka ke sekolah di Padang Jawa.
Bermandi peluh, berjalan di bawah panas terik matahari demi mencari ilmu, seperti sudah lali dalam hidup mereka.
Derita yang terpaksa mereka tanggung dalam mencari ilmu kini boleh dianggap sudah berakhir apabila sebuah badan bukan kerajaan, Hobobike Atelier, tampil menghulurkan bantuan.
Adalah kejutan bagi mereka apabila lima buah basikal baharu terhidang di hadapan rumah sebaik pulang dari sekolah.
"Rasa gembira sangat dapat basikal hari ini. Lepas ni senang nak ke sekolah. Terkejut juga. Tak perlu baiki yang lama.
"Lepas ini tak perlu nak jalan kaki lagi.. terima kasih yang bagi basikal dekat kami," kata salah seorang daripada anak Azizah, Mohd Rohimin.
Malah, Mohd Rohimin yang memulakan Darjah 6 tahun ini berazam untuk mencapai keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
Sementara itu, penaung Hobobike Atelier, Muhd Ezrin Mohd Nazan berkata, jika sebelum ini mereka sering melakukan kebajikan kepada golongan gelandangan, namun kali ini berbeza.
"Saya berterima kasih kepada Astro AWANI yang tarik minat saya dan Hobobike untuk menyumbang lima buah basikal kepada lima adik beradik ini.
"Sebelum ini kami ada juga buat program untuk membantu gelandangan setiap minggu, setiap hari Jumaat dan acara ini secara tertutup," katanya.
Tambah Muhd Ezrin, Hobobike yang bermaksud Homeless Boys On Bike juga berharap supaya anak-anak Azizah dapat meningkatkan usaha untuk menimba ilmu.