"Mak sayu, dia sedih nak tinggalkan saya" - Noor Farehah

Harits Asyraf Hasnan
September 13, 2015 20:02 MYT
Noor Farehah cuba menghubungi ibunya jam 10.30 Sabtu malam, bagaimanapun panggilan itu disambut lelaki yang dipercayai berbangsa Arab dan tidak tahu berbahasa Inggeris.
"Hati mak sayu sangat sebelum berlepas ke tanah suci."
Itu luahan Zainun Taha, 69, salah seorang daripada jemaah haji negara yang hilang susulan insiden kren tumbang di Masjidilharam kepada anaknya Noor Farehah Abu Bakar, 35, sebelum berlepas ke Tanah Suci.
Menurut Noor Farehah, kata-kata terakhir ibunya sebelum bertolak menunaikan fardu haji masih segar di ingatannya.
"Sebelum dia berlepas dia ada cakap, hati dia sayu sangat hari dia nak pergi. Saya cakap kenapa? Sebab sepatutnya dia gembira sebab pergi Mekah.
"Dia kata tak tahu, dia sayu sangat, dia sedih nak tinggalkan saya seorang. Saya cakap saya selamat kat sini, kenapa saya seorang pula?" ujar Noor Farehah dalam nada sebak.
Noor Farehah cuba menghubungi telefon mudah alih ibunya pada jam 10.30 Sabtu malam.
Bagaimanapun, panggilan itu disambut seorang lelaki yang dipercayai berbangsa Arab dan tidak tahu berbahasa Inggeris.
"10.30 malam tadi, akhir saya cuba sekali lagi, dia (lelaki Arab) cuba bercakap dengan saya. Cuma dia cakap, 'no English, no English.
"Makna dia tak fahamlah apa yang saya cakap dalam bahasa Inggeris. Lepas itu suasana dekat belakang macam suasana tempat yang sibuk, macam mungkin hospital ke saya tak tahu.
Noor Farehah berkata, dia sekeluarga berharap TH akan mempergiat dan mempercepat usaha mengesan semua keluarga mangsa, sekali gus memberi jawapan berhubung keadaan semasa mereka yang tidak dapat dikesan.
"Saya harap sangat, saya tak kisah pun, jumpa mak saya dalam keadaan macam mana sekali pun saya redha, tapi memang saya harap sangat, saya nak tahu jawapan dia," katanya.
Noor Farehah berkata ketika ditemui di kediaman ibunya, di Ampang selepas Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH), Tan Sri Ismee Ismail membuat lawatan.
#Haji #kren tumbang #masjidilharam #Mekah #Noor Farehah Abu Bakar #sayu #Tanah Suci #Zainun Taha
;