Mak nyah, Nur Sajat dedah beliau sebenarnya dilahirkan khunsa

Kohilah Sekaran
April 23, 2016 11:03 MYT
Baru-baru ini satu post di laman Instagram, Nur Sajat memeranjatkan ramai pihak apabila beliau memberitahu bahawa dirinya dilahirkan sebagai seorang khunsa. - Instagram: Nur Sajat
NUR SAJAT yang menjadi popular dalam kalangan netizen satu ketika dahulu apabila beliau mengambil keputusan untuk memakai tudung setelah mengalami kemalangan jalan raya kini tampil dengan satu kenyataan yang mengejutkan.
Menerusi laman Instagramnya, Nur Sajat yang kini memiliki syarikat produk kosmetik dan kecantikan, NUR SAJAT AESTHETIC SDN BHD mengejutkan netizen apabila beliau mendedahkan dirinya dilahirkan sebagai seorang khunsa.
Nur Sajat dilahirkan pada tahun 1985 di sebuah hospital di Perak berkata kelahirannya itu telah memberi kejutan kepada kedua-dua ibu bapanya serta kakitangan hospital.
Hal ini kerana, beliau dilahirkan dengan dua jantina.
“Hospital lumut perak, di situ bermula lah sejarah ku bermula....pada jam 10.30am, ku dilahirkan.....doktor, nurse dan ayah ku terkejut dengan kelahiran ajaib ku...
“Aku (sajat) mempunyai 2 kemaluan...time tu semua panik dan ayah dan mak ku tak tahu nak buat apa,” tulis Sajat di laman Instagramnya.
Difahamkan, Nur Sajat dibesarkan dengan cara seorang lelaki, tetapi malangnya dia lebih gemar melakukan kerja-kerja seorang perempuan.
Nur Sajat menjelaskan situasi menjadi buruk apabila beliau mula takut untuk pergi ke sekolah dan rasa malu untuk masuk ke tandas kerana tidak mahu orang lain tahu akan dirinya itu.
Bagaimanapun, Nur Sajat berkata beliau bersyukur diberi rezeki yang halal dan dikurniakan dua anak angkat, Nur Syaza Sajidah dan Muhammad Syahmi.
Menurut Nur Sajat, walaupun mereka bukan anak kandungnya, namun beliau tidak terlepas mencurahkan kasih sayang kepada mereka.
Susulan itu, kenyataan ini mula mendapat perhatian netizen di media sosial.
Pelbagai reaksi dan pandangan diberikan oleh pengguna media sosial kepada Nur Sajat.
#Instagram #mak nyah #Nur Sajat