Mak Bedah manfaat pokok nipah tepi rumah, buat nira dan cuka
Bernama
Januari 9, 2020 08:07 MYT
Januari 9, 2020 08:07 MYT
Rumit dan mengambil masa agak lama untuk dituai, bukan kekangan bagi 'Mak Bedah' untuk menghasilkan nira segar dengan hanya memanfaatkan rumpun-rumpun nipah yang tumbuh meliar di sekitar rumahnya.
Mak Bedah atau nama sebenarnya Siti Bedah Basir, 55, berkata minuman yang menjadi kegemaran 'orang Kedah' itu mendapat permintaan tinggi terutama pada 'musim timur' atau kemarau, setiap kali berakhirnya musim menuai padi.
"Keluarga Mak Bedah buat nira ni untuk tambah pendapatan sejak lebih 30 tahun lepas. Tak payah nak ada ladang besar atau modal besar pun, sebab pokok nipah ni mudah tumbuh di kawasan macam rumah Mak Bedah yang dekat bendang ni, jadi pokok yang ada ni pun dah boleh kita proses untuk buat nira.
"Proses nak dapat nira payah sikit, jadi elok kita buat dekat rumah, senang nak kawal sebab nira ni tengah malam pun kita kena kutip dan bubuh dalam peti ais secepatnya untuk elak daripada menjadi masam," katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru, Ayer Hitam dekat sini, baru-baru ini.
Menurut Mak Bedah, proses menghasilkan nira nipah sebenarnya tidak memerlukan kepakaran yang tinggi, namun kesabaran sangat penting kerana ia mengambil masa agak lama sebelum boleh dituai, dikumpul dan dijual kepada pelanggan.
Mak Bedah berkata, nira diperoleh selepas memangkas atau dalam istilah kampungnya 'balas' tangkai buah nipah yang keluar di perdu pokok nipah menggunakan pisau.
"Apabila buah nipah dah cukup matang dan tangkainya melentur ke bawah, kita kupas kulit tangkai buah tu dan lumurkan dengan selut sebab nak jaga tangkai daripada serangga dan bagi lembab untuk hasilkan air nira yang banyak nanti.
"Lepas sapu selut, kita juga kena selalu 'urut' tangkai buah nipah tu, selepas hampir sebulan baru boleh 'balas' hujung tangkai buah nipah dan letak bekas untuk tahan nira yang turun setitik demi setitik," katanya.
Mak Bedah berkata, lima hingga enam jam selepas tangkai buah nipah dipangkas, barulah air nira boleh dikumpul sedikit demi sedikit, kebiasaannya mampu memperoleh lima hingga 10 liter nira sehari daripada anggaran 15 tangkai buah nipah bergantung kepada keadaan cuaca.
"Kalau musim timur macam sekarang ni, air nira kurang tapi pada masa inilah ramai orang tempah sebagai minuman atau untuk dijual," katanya yang memaklumkan nira yang dituai mampu bertahan kurang seminggu dan rasanya daripada manis berlemak akan menjadi semakin masam dari hari ke hari.
Mak Bedah berkata, nira yang tidak habis dijual tidak sesekali dibazirkan kerana ia boleh diproses semula untuk dijadikan cuka makanan, selain mendapat permintaan tinggi pelanggan kerana dipercayai mengandungi khasiat untuk merawat beberapa penyakit.
"Buat nira ni kita tak rugi apa, buat minum terus boleh, kalau tak habis kita buat cuka, tahan lama dan cuka nipah ramai orang cari buat ubat kencing manis, batu karang, darah tinggi atau gout," katanya yang menjadi pembekal kepada beberapa peniaga kecil di sekitar Ayer Hitam.
Sementara itu, peniaga nira, Muhamad Hakim Yusof, 23, dan kakaknya Noor Yutasha Yusof, 33, berkata, permintaan nira laris pada musim timur kerana kesegarannya dapat menyejukkan badan.
"Kami jual sebungkus dengan harga RM3 sahaja. Nira ni kena minum sejuk barulah rasa lebih sedap, kami tak bubuh ais dalam air nira tu, kami sejukkan dengan ais batu di luar, jadi rasa asli nira tu tak hilang," katanya yang berniaga di tepi jalan berhampiran pekan Ayer Hitam.
Muhamad Hakim berkata nira nipah sangat sedap dengan rasa yang unik, kerana itulah ada yang sanggup datang dari jauh untuk mendapatkan nira yang mudah diperoleh di sekitar Ayer Hitam.
-- BERNAMA