Majukan NFC: Baka lembu Brazil jadi 'idaman' Malaysia

Harits Asyraf Hasnan
Oktober 22, 2018 11:07 MYT
Salahuddin berkata, faktor iklim khatulistiwa yang sama antara Malaysia dan Brazil membolehkan baka lembu dari negara itu diternak di negara ini.
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MoA) sedang mengambil beberapa langkah bukan sahaja meneruskan kelangsungan bekalan daging, malah meningkatkan hasilnya.
Menterinya Datuk Salahuddin Ayub berkata, inisiatif itu termasuk memilih baka yang baik seperti di Brazil dan teknologi terkini.
“Pemain-pemain lebih gemar untuk menggemukkan lembu sahaja, kemudian jual. Ini tidak bergerak ke mana-mana.
“Oleh itu kita perlu lihat kepada pendekatan baharu, lebih teliti dan fokus untuk memilih baka-baka yang boleh kita buat untuk pembiakan.
“Daripada baka ini akan kita gemukkan. Jadi ekosistem itu mesti diperbaiki,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Che Alias Hamid (PAS-Kemaman) yang bertanyakan berkenaan teknologi yang dibangunkan MOA dalam menambah baik National Feedlot Centre (NFC).
Selain itu, beliau berkata, faktor iklim khatulistiwa yang sama antara Malaysia dan Brazil membolehkan baka lembu dari negara itu diternak di negara ini.
Malah, pihaknya turut bercadang melaksanakan penanaman jagung bijirin sebagai sumber makanan kepada haiwan ternakan.
#baka #bekalan daging #bijirin #Brazil #Dewan Rakyat #lembu #Salahuddin Ayub #ternakan
;