Majoriti tidak faham isu 1MDB, kata Merdeka Center
Astro Awani
April 17, 2015 13:02 MYT
April 17, 2015 13:02 MYT
Majoriti rakyat tidak faham isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), menurut pungutan suara yang dikendalikan oleh Merdeka Center dan stesen radio BFM.
Sebanyak 70 peratus yang ditanya – yang majoriti dari golongan berpendapatan rendah – tidak tahu tentang kontroversi berkenaan manakala 75 peratus pula tidak tahu tentang peranan badan itu.
Apabila ditanya siapa yang bertanggungjawab dalam kontroversi 1MDB, 52 peratus berkata tidak pasti dan 6 peratus berkata mereka tidak tahu.
Selebihnya, 18 peratus berpendapat Perdana Menteri bertanggungjawab dalam kes itu dan selebihnya adalah kerajaan persekutuan (16 peratus) dan pihak pengurusan 1MDB (5 peratus).
Kajian itu turut mendedahkan bahawa pengundi muda lebih cenderung untuk melaporkan kekurangan keyakinan dalam pengendalian kes 1MDB oleh pihak kerajaan berbanding dengan pengundi yang lebih tua.
Ditanya jika mereka terjejas dengan isu 1MDB, majoriti – iaitu 30 peratus – berkata mereka tidak pasti dan 23 peratus berkata mereka “tidak terjejas”.
Kajian dilakukan pada 12 hingga 27 Mac 2015 dan melibatkan 1011 responden. Majoriti responden berusia 31 hingga 40 tahun diikuti dengan kumpulan berusia 41 hingga 50 tahun dan 21 hingga 20 tahun.
Enam puluh peratus responden berbangsa Melayui diikuti dengan Cina (31 peratus) dan India (9 peratus).