Majoriti responden belum puas hati cara kerajaan tangani inflasi, kos sara hidup - Kajian
Hasimi Muhamad
Mei 31, 2023 08:15 MYT
Mei 31, 2023 08:15 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim disaran memberikan keutamaan paling tinggi terhadap usaha mengurangkan inflasi dan menjana pertumbuhan ekonomi.
Hasil kaji selidik yang dijalankan oleh Endeavour-MGC menunjukkan sekitar 22 peratus daripada 1,068 responden melibatkan semua kaum mahu dua isu berkenaan diberikan fokus utama, manakala kira-kira 21 peratus daripada 791 responden Melayu menyuarakan hal sama.
Dapatan tersebut turut mendapati sebanyak 52 peratus responden Melayu dan 46 peratus responden semua kaum tidak berpuas hati dengan prestasi Kerajaan Perpaduan menangani isu inflasi dan kos sara hidup.
Hasil kajian menunjukkan hanya 27 peratus responden Melayu dan 32 peratus responden semua kaum berpuas hati dengan pentadbiran Anwar dalam menangani kedua-dua isu berkenaan.
Selain itu, 57 peratus dan 48 peratus masing-masing daripada responden semua kaum dan Melayu berpuas hati dengan Belanjawan 2023 yang dibentangkan oleh Anwar, yang juga Menteri Kewangan.
Begitupun, sebanyak 59 peratus responden Melayu dan 56 peratus responden semua kaum mengakui menerima manfaat daripada program dan peruntukan kewangan di bawah Belanjawan 2023.
Sementara itu, peratusan responden Melayu yang tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan
agar tidak membenarkan satu lagi pengeluaran khas simpanan dalam skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah paling tinggi iaitu 51 peratus, manakala responden semua kaum sebanyak 44 peratus.
Kaji selidik pendapat awam itu dijalankan melalui persampelan rawak berstrata dari 4 hingga 18 April lalu, dengan margin kesilapan keputusan adalah antara tiga dan 3.5 peratus berdasarkan bilangan pemilih berdaftar di Semenanjung, setakat Jun 2022.
Dari segi demografi gender dan kaum, jumlah responden lelaki dan wanita masing- masing 50 peratus manakala kaum Melayu mewakili 62.2 peratus, Cina (28.7 peratus), India (8.2 peratus) dan lain-lain (0.9 peratus).
Kesemua mereka berumur antara 18 hingga 60 tahun ke atas dengan golongan yang berumur 30 hingga 39 tahun adalah paling ramai iaitu 26 peratus.