Majoriti rakyat Malaysia setuju sistem pendidikan satu aliran - Kajian

Harits Asyraf Hasnan
Februari 1, 2021 13:04 MYT
Menerusi tinjauan pendapat yang dilakukan EMIR Research pada Disember 2020, sejumlah 54 peratus responden bersetuju dengan cadangan itu. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Majoriti rakyat Malaysia bersetuju supaya sistem pendidikan kebangsaan satu aliran dilaksanakan di negara ini.
Menerusi tinjauan pendapat yang dilakukan EMIR Research pada Disember 2020, sejumlah 54 peratus responden bersetuju dengan cadangan itu.
Sementara 31 peratus lagi akui tidak pasti dan 15 peratus tidak bersetuju dengan pelaksanan sistem pendidikan kebangsaan satu aliran.
Kajian itu turut mendapati majoriti responden iaitu 66 peratus mahu pengajaran subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.
Namun, 20 peratus menyatakan tidak pasti sementara 15 peratus lagi tidak bersetuju.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EMIR Research, Dr Rais Hussin berkata, responden yang tinggal di pedalaman lebih bersetuju dengan cadangan sistem pendidikan satu aliran berbanding responden di kawasan bandar.
"Responden Melayu dan Bumiputera memihak kepada sistem pendidikan satu aliran berbanding responden India.
"Pada masa sama, responden India lebih cenderung bersetuju dengan penyataan tersebut berbanding responden Cina," katanya dalam satu laporan yang dikeluarkan hari ini.
Mengulas lanjut, Rais berkata, responden yang berlatar pendidikan tinggi lebih cenderung bersetuju supaya pengajaran Sains dan Matematik dilaksanakan dalam bahasa Inggeris dan sistem pendidikan satu aliran.
Kajian pada Disember 2020 itu melibatkan hampir 2,000 responden.
#pendidikan #sistem pendidikan #pendidikan satu aliran #PPSMI #matematik sains bahasa inggeris #kajian EMIR Research #Rais Hussin #EMIR Research
;