Majoriti miskin bandar tiada peranti untuk anak laksana e-pembelajaran - UNICEF, UNFPA

Harits Asyraf Hasnan
Ogos 24, 2020 07:00 MYT
Dua daripada lima mereka akui berdepan masalah seperti ketiadaan peranti, terutama melibatkan anak-anak dari isi rumah yang diketuai oleh wanita. - Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Menetap di tengah-tengah ibu negara, pastinya ramai yang beranggapan akses dan jaringan internet bukan masalah utama kepada para pelajar yang perlu melalui norma baharu pembelajaran secara dalam talian.
Namun laporan yang dikeluarkan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Dana Populasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) melibatkan keluarga miskin bandar di Kuala Lumpur bukanlah seperti ramai jangkakan.
Secara majoritinya, kanak-kanak seawal usia lima tahun hinggalah para pelajar berusia 17 tahun bukan sahaja berdepan masalah akses internet, tetapi juga tiada peranti khusus untuk e-pembelajaran.
Memetik laporan Families on the Edge - Siri Ogos 2020, lapan daripada 10 akui anak-anak mereka melalui proses pembelajaran secara dalam talian sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Bagaimanapun, dua daripada lima mereka akui berdepan masalah seperti ketiadaan peranti, terutama melibatkan anak-anak dari isi rumah yang diketuai oleh wanita.
56 peratus isi rumah yang diuruskan oleh wanita akui mereka tidak mempunyai peranti e-pembelajaran.
Sejumlah 42 peratus turut akui perkara sama dari keseluruhan 300 isi rumah yang lain.
Pada masa sama, 45 peratus isi rumah yang diketuai wanita turut tidak mempunyai akses internet, di mana 36 peratus melibatkan ketua isi rumah lain.
Antara permasalahan lain termasuk anak-anak tidak dapat fokus kerana tiada ruang pembelajaran, tiada garis panduan khusus dari sekolah, tidak dapat memantau proses pembelajaran anak selain tiada minat belajar oleh anak-anak mereka sendiri.
Masalah tiada peranti seperti komputer untuk belajar dalam kalangan mereka yang tinggal di perumahan kos rendah tersebut adalah jauh lebih tinggi jika dibandingkan dengan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang dikeluarkan pada 2019.
DOSM melaporkan, masalah tersebut di Kuala Lumpur hanya pada kadar 23 peratus dan Malaysia secara keseluruhan adalah 29 peratus.
#COVID-19 #e-pembelajaran #Kanak-kanak #keluarga #miskin bandar #norma baharu #pelajar #pendidikan #PPR #sekolah #UNFPA #UNICEF