Majoriti mereka yang ditahan terlibat rasuah adalah golongan muda - SPRM
Bernama
Julai 31, 2019 21:23 MYT
Julai 31, 2019 21:23 MYT
Lebih separuh daripada jumlah individu yang ditangkap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak lebih lima tahun lepas adalah terdiri dari golongan muda berumur 40 tahun dan ke bawah.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil hari ini berkata berdasarkan statistik dari tahun 2014 sehingga Jun lepas, seramai 4,860 orang individu telah ditangkap kerana rasuah dan 2,594 atau 53.4 peratus daripada jumlah itu merupakan golongan muda.
"Ini menjadi kerisauan kepada kita, jika kita lihat data ini lebih 50 peratus mereka yang terlibat adalah orang muda. Jika kita lihat dalam satu kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2002, 30.5 peratus daripada pelajar yang menjadi responden menyatakan kesanggupan mereka menerima rasuah.
"Isu ini harus dipandang berat dan ditangani sejak dari peringkat awal lagi," katanya ketika ditemui Bernama selepas merasmikan majlis penutupan Persidangan Antarabangsa Pembangunan Pengurusan Islam (IDMAC) 2019 di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini.
Persidangan bertemakan 'Integriti dan Hisbah dalam Pengurusan Pembangunan Islam' selama dua hari bermula semalam itu disertai oleh lebih 120 penuntut dan pensyarah dari beberapa buah negara seperti Brunei, India, Indonesia, Pakistan, Bangladesh, Nigeria dan United Kingdom.
Menurutnya SPRM bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk universiti-universiti awam bagi mengadakan pelbagai langkah bagi mencegah daripada aktiviti tidak bermoral ini terus berleluasa khususnya di kalangan golongan muda.
"Kita bersedia untuk bersama dan dalam hal ini penglibatan semua pihak amat diperlukan. Kita akan bekerjasama dengan mana-mana universiti bagi meningkatkan integriti dan menerapkan elemen-elemen anti-rasuah di kalangan para pelajar dan warga pendidik sedia ada," katanya.
-- BERNAMA
#40 tahun dan ke bawah
#golongan muda
#Shamshun Baharin Mohd Jamil
#SPRM
#Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
#Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM