Majoriti kes bunuh di Malaysia babit mangsa, suspek saling kenal - Shuhaily

Faida Rahim
Ogos 21, 2024 12:45 MYT
Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, mengadakan sidang media selepas melancarkan penubuhan pasukan Behavioral Science Unit (BSU) di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur pada Rabu. - Gambar/ Shahir Omar/ Astro AWANI
CHERAS: Statistik kes pembunuhan di Malaysia menunjukkan majoriti kejadian membabitkan keadaan mangsa dan suspek saling mengenali.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata ia biasanya melibatkan hubungan kekeluargaan atau persahabatan.
"(Biasanya) berlaku sesuatu isu atau konflik antara kedua-dua pihak ini. Sama ada hubungan menjadi tidak baik, perniagaan yang kemudian menjadi tidak baik... ada juga kes disebabkan penggunaan bahan terlarang dan sebagainya,” katanya.
Mengulas lanjut, tambah beliau, jumlah kes pembunuhan yang berlaku secara spontan dalam negara ini adalah kecil.
“Contohnya samun dan kemudian terjadi pembunuhan... itu berlaku tetapi dalam kadar yang begitu kecil dan (berbanding) negara lain ia berlaku dengan kadar yang begitu besar.
“Justeru BSU ini ditubuhkan dalam konteks mengenal pasti faktor serta dinamik kes sedemikian... kemudian kita zahirkan kepada pihak pembuat dasar untuk (menghasilkan) dasar yang lebih baik supaya masyarakat berubah daripada apa yang ada sekarang di masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan penubuhan pasukan Behavioral Science Unit (BSU) di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur pada Rabu.
PDRM menubuhkan pasukan BSU dalam Jabatan Siasatan Jenayah bagi merealisasikan matlamat untuk menjadikan siasatan polis ebih efektif, berfokus dan tepat.
Jelas beliau, siasatan melibatkan aspek sains tingkah laku serta psikologi dapat memahami personaliti, tingkah laku suspek, mangsa dan saksi dengan lebih mendalam.
#Mohd Shuhaily Mohd Zain #statistik kes bunuh #hubungan kekeluargaan #Behavioral Science Unit