Majoriti kes baharu dan kematian akibat kes sporadik, varian baharu jadi punca - Dr Noor Hisham

Afiezy Azaman
Jun 7, 2021 11:38 MYT
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, kes sporadik bermakna kes yang dikesan di dalam komuniti namun tidak dapat dikaitkan dengan mana-mana kes atau kluster sedia ada. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Majoriti kes baharu dan kematian akibat COVID-19 yang dikesan sejak 1 April merupakan kes-kes sporadik.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, kes sporadik bermakna kes yang dikesan dalam komuniti namun tidak dapat dikaitkan dengan mana-mana kes atau kluster sedia ada.
Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, berdasarkan analisis dijalankan, daripada jumlah kumulatif kes baharu COVID-19 pada Minggu Epidemiologi ke-13 bermula 28 Mac hingga 3 April, sebanyak 8,968 kes (52 peratus) adalah kes sporadik.
"Pada Minggu Epidemiologi ke-19, 9 Mei hingga 15 Mei, sebanyak 29,386 (77.7 peratus) kes sporadik.
"Negara kemudian merekodkan kes kumulatif mingguan tertinggi setakat ini pada Minggu Epidemiologi ke-21, 23 Mei hingga 29 Mei, dengan sebanyak 53,419 (86.1 peratus) kes sporadik.
"Trend kes sporadik kekal tinggi pada Minggu Epidemiologi ke-22 pada 30 Mei ke 5 Jun dengan kes baharu 52,040 (84.3 peratus) kes sporadik," katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.
COVID-19 | Kes sporadik mengganas akibat varian baharu
Mengulas lanjut, Dr. Noor Hisham berkata, kumulatif kes kematian COVID-19 pula semakin meningkat dari minggu ke minggu.
"Kes kematian dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-13 28 Mac hingga 3 April sebanyak 35 kes (26 kes sporadik, manakala pada Minggu Epidemiologi ke-19 pada 9 Mei hingga 15 Mei sebanyak 209 kes kematian (187 kes sporadik).
"Jumlah ini melonjak dan pada Minggu Epidemiologi ke-22 pada 30 Mei hingga 5 Jun sebanyak 641 kematian dengan 559 kes sporadik," ujarnya.
Tambah beliau, salah satu faktor yang menyumbang kepada situasi tersebut adalah berikutan kemunculan varian-varian baharu dalam komuniti dengan kadar kebolehjangkitan dan kematian yang lebih tinggi selain penularan secara meluas dalam komuniti berbanding minggu epidemiologi sebelum ini.
Justeru, Dr. Noor Hisham menyeru masyarakat mengambil situasi serius situasi tersebut di mana penularan COVID-19 adalah dalam komuniti termasuk pusat beli-belah, tempat kerja dan sebagainya.
"Masyarakat perlu faham sesiapa sahaja boleh dijangkiti COVID-19 tidak kira di mana mereka berada dan akibatnya kita melihat peningkatan kes-kes sporadik dan kematian kes sporadik dalam komuniti.
"Kementerian Kesihatan menyeru masyarakat untuk terus konsisten dalam mematuhi sepenuhnya Prosedur Operasi Standard (SOP)," katanya.
#Noor Hisham Abdullah #SOP #Kementerian Kesihatan #kadar kebolehjangkitan #COVID-19 #Kes Sporadik
;