Majoriti ADUN tolak Ahmad Faizal, Bersatu terima tamparan hebat - Howard Lee

Fareez Azman
Disember 4, 2020 14:24 MYT
Howard Lee berkata keputusan PH untuk menolak kepimpinan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di Dewan Undangan Negeri Perak tidak mengejutkan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kegagalan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mendapat sokongan majoriti undi di Sidang Dewan Undangan Negeri Perak pada Jumaat memberi tamparan hebat buat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pinji, Howard Lee, keputusan undi tidak percaya terhadap kepimpinan Menteri Besar itu membuktikan bahawa ADUN di dalam kerajaan negeri juga menolak Ahmad Faizal.
"Bukan sahaja pembangkang menyokong usul oleh ADUN kerajaan, tetapi untuk mengawalkan usul di hujung peraturan mesyuarat, dua usul diusulkan pagi tadi dari ADUN Temenggor (UMNO) dan satu lagi oleh saya.
"Usul itu dikemukakan untuk diundi di dewan dan sudah dapat sokongan majoriti. Hari ini bukan sahaja tamparan hebat kepada Bersatu tetapi petunjuk kepada PN (Perikatan Nasional)," katanya kepada Astro AWANI.
Malah, jelas Howard, situasi di Perak adalah lumrah dalam gelanggang politik negara khususnya selepas Langkah Sheraton yang menyaksikan PN mentadbir kerajaan Pusat dan negeri.
Dalam pada itu, Howard mengesahkan bahawa tindakan undi tidak percaya oleh Pakatan Harapan (PH) terhadap Menteri Besar Perak telah dibincangkan sebelum ini.
"Di peringkat PH telah dibincangkan dan dibahaskan secara panjang lebar, keputusan boleh dikatakan natural menolak keyakinan dan menunjukkan kita tidak yakin (dengan kepimpinan) Menteri Besar sedia ada," ujar beliau lagi.
#PPBM #UMNO #Pakatan Harapan #Menteri Besar #ADUN #Pandemik COVID-19 #sidang dun #Perikatan Nasional #undi tidak percaya #pembangkang
;