Majlis Tilawah, Hafaz al-Quran antarabangsa bermula
Bernama
Oktober 19, 2022 05:33 MYT
Oktober 19, 2022 05:33 MYT
KUALA LUMPUR: Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-62 1444 Hijrah/2022 Masihi, bermula malam tadi hingga Isnin (24 Okt) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam satu kenyataan memaklumkan, seramai 41 peserta melibatkan 31 buah negara yang menyertai MTHQA kali ini akan memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran secara bertarannum.
"Pelbagai pengisian menarik akan disajikan sepanjang MTHQA berlangsung," menurut kenyataan Jakim itu.
Kenyataan Jakim memaklumkan Keluarga Malaysia yang ingin menyaksikan MTHQA secara fizikal, dijemput hadir ke Dewan Plenary KLCC bermula 8.45 malam dan tempat adalah terhad.
"Saksikan siaran langsung bermula jam 8.45 malam di saluran RTM TV1 dan media sosial rasmi Jakim," menurut Jakim.
Malam tadi, empat peserta memperdengarkan bacaan iaitu dua qari Masoud Noori dari Iran dan Brahim Boughalab (Belgium), serta dua qariah iaitu Nuhuman Nuha (Sri Lanka) dan Yuni Wulandari Hasim (Indonesia).
-- BERNAMA