Majlis Presiden PH gesa kelulusan vaksin Sinopharm, Moderna dipercepatkan

Nailah Huda
Mei 27, 2021 18:28 MYT
Setakat semalam, seramai 937,756 yang melengkapkan dua dos vaksin COVID-19, dengan Selangor merekodkan 4.69 peratus kadar vaksinasi meskipun mencatatkan kes harian tertinggi hampir setiap hari. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menggesa Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) supaya mempercepatkan kelulusan vaksin-vaksin COVID-19 buatan Sinopharm, Sputnik V dan Moderna bagi mencapai sasaran imunisasi kelompok dengan lebih pantas.
Dalam satu kenyataan bersama oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng, mereka menzahirkan kebimbangan susulan peningkatan kes positif di hampir setiap negeri di samping jumlah katil unit rawatan rapi (ICU) yang semakin tidak mencukupi.
Tegas mereka, kelulusan vaksin lain perlu dipercepatkan memandangkan kadar pemberian vaksin sedia ada masih belum mencapai sasaran.
Setakat semalam, seramai 937,756 yang melengkapkan dua dos vaksin COVID-19, dengan Selangor merekodkan 4.69 peratus kadar vaksinasi meskipun mencatatkan kes harian tertinggi hampir setiap hari.

Jumlah terkini pemberian vaksin dos 1 dan dos 2. Daftar untuk vaksinasi sekarang: https://t.co/m1joWOB4OE#LindungDiriLindungSemua pic.twitter.com/lwtHqmXPS3

— Vaksin COVID-19 (@JKJAVMY) May 27, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
“Majlis Presiden turut mengambil maklum kadar pemberian vaksin Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac masih belum mencapai kadar yang dijanjikan kerana dibelenggu pelbagai masalah termasuk isu bekalan, isu pemberian vaksin termasuk dos vaksin AstraZeneca yang tidak mencukupi, serta isu pendaftaran yang amat menyukarkan rakyat sungguhpun RM70 juta telahpun dibelanjakan untuk sistem laman web.
“Kadar pemberian vaksin perlu disegerakan terutama apabila keperluan dana RM5 bilion telahpun tercapai dengan pengeluaran wang dari Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) tanpa kelulusan Parlimen, untuk kos pembelian dan pelaksanaan,” menurut kenyataan itu.
Tambah mereka, vaksin Sinopharm telah diluluskan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) manakala Sputnik V dan Moderna telah mula digunakan di beberapa negara lain.
Setakat ini, hanya vaksin buatan Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca diluluskan untuk pemberian melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
Sehubungan itu, Majlis Presiden PH mempersoalkan keperluan untuk mengisytiharkan Darurat dan menutup Parlimen serta keupayaan kerajaan untuk mengawal pandemik tersebut.
“Kes harian COVID-19 yang melonjak sejak Darurat diisytiharkan dan Parlimen ditutup jelas menunjukkan kegagalan kerajaan Perikatan Nasional untuk menangani COVID-19 dengan sendirinya.
“Sejak Darurat berkuat kuasa pada 11 Januari 2021 hingga ke hari ini, walau diberi kuasa penuh untuk melakukan segala ikhtiar dan upaya, namun berdasarkan data dan bukti sedia ada, jelas kuasa Darurat ini tidak berjaya mengekang penularan wabak COVID-19, sebaliknya keadaan menjadi jauh lebih serius,” tegas tiga pemimpin itu.
Mereka juga mempersoalkan peranan mereka dalam Jawatankuasa Khas Bebas Darurat yang hanya “mendiamkan diri” berkaitan keperluan pelaksanaan Darurat dan persidangan Parlimen.
Justeru, Majlis Presiden PH mendesak supaya Darurat ditamatkan dan Parlimen bersidang dengan segera bagi memulihkan demokrasi.
Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Seri Azalina Othman Said dalam satu kenyataan hari ini turut melahirkan rasa kecewa susulan pergantungan Parlimen dan tiada tindakan diambil oleh kerajaan berkaitan persidangan Parlimen.
BACA: Azalina cadang SOP buka Parlimen, harap sokongan semua Ahli Parlimen
#Majlis Presiden #Pakatan Harapan #Anwar Ibrahim #Lim Guan Eng #Mohamad Sabu #Azalina Othman #Dewan Rakyat #Parlimen #darurat #Bahagian Regulatori Farmasi Negara #NPRA #KKM #COVID-19 #vaksin #Sinopharm #Moderna #Sputnik V #AstraZeneca #PICK
;