Majlis Perumahan Mampu Milik Negara sasar Satu Keluarga, Satu Rumah - Reezal Merican
Bernama
Februari 10, 2022 19:43 MYT
Februari 10, 2022 19:43 MYT
PUTRAJAYA: Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) hari ini bersetuju meletakkan sasaran - Satu Keluarga, Satu Rumah - dalam misi penyediaan rumah mampu milik di negara ini, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Beliau berkata sasaran itu bertepatan dengan misi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), yang sedang giat menggerakkan agenda Home Ownership Programme (HOPE) dengan melihat ekosistem perumahan itu secara menyeluruh dan holistik iaitu availability, affordability, accessibility, quality dan liveability.
Beliau berkata mesyuarat MPMMN yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini, telah melihat secara menyeluruh perumahan mampu milik dan memutuskan kerangka hala tuju baharu, strategi serta gandingan sinergi semua pihak.
Reezal Merican berkata KPKT kini sedang membangunkan pemetaan perumahan, bagi membolehkan penyediaan rumah mampu milik disesuaikan dengan kemampuan lokaliti.
"Mampu milik di Kuala Lumpur, belum tentu mampu milik di Kinabatangan. Begitu juga di Ipoh dengan Gerik. Ada perbezaan kemampuan dan ini yang akan diberi penekanan oleh kerajaan," katanya dalam hantaran di laman Facebook miliknya mengenai mesyuarat MPMMN.
MPMMN yang telah diaktifkan semula dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 19 Nov, adalah platform bagi membincangkan dan menyelaras hala tuju perancangan, penyelarasan serta pemantauan bagi penyediaan rumah mampu milik di seluruh negara.
Reezal Merican berkata mesyuarat hari ini turut dibincangkan isu-isu berkenaan perancangan, penyelarasan dan penyediaan 500,000 rumah mampu milik, yang disasarkan di dalam Rancangan Malaysia Ke-12.
Mesyuarat turut menyentuh tentang hala tuju perumahan sosial yang dilaksanakan oleh kerajaan dan swasta; membincang dan menyelaras isu-isu berkenaan perumahan mampu milik dan cadangan konsep baharu; serta membincang dan mencadangkan penambahbaikan ke atas isu-isu pemilikan rumah terutamanya aspek pembiayaan.
-- BERNAMA
#Majlis Perumahan Mampu Milik Negara
#Reezal Merican Naina Merican
#ismail sabri yaakob
#Satu Keluarga Satu Rumah