Majlis pernikahan dibenarkan? Nantikan SOP baharu besok

Isabelle Leong
November 9, 2020 20:29 MYT
Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata, belum ada kepastian sama ada SOP itu melibatkan pernikahan di rumah atau jabatan agama Islam. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohammad Al-Bakri membentangkan prosedur operasi standard (SOP) baharu berkenaan majlis pernikahan pada Selasa (10 November).
Ismail Sabri berkata SOP yang akan dibentangkan di Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu melibatkan majlis pernikahan dan bukannya majlis perkahwinan.
“Kami sudah bincang tempoh hari. Kami akan benarkan (majlis pernikahan), maksudnya untuk bernikah sahaja.
“Bernikah tidak perlu upacara yang ramai.
“Mungkin di pejabat kadi pun boleh bernikah di sana,” katanya pada sidang media harian berhubung perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada Isnin.
Bagaimanapun, katanya, belum ada kepastian sama ada SOP itu melibatkan pernikahan di rumah atau jabatan agama Islam.
Katanya lagu, pengumuman berkenaan SOP itu akan dilakukan mengikut kesesuaian negeri masing-masing
“Apabila melibatkan agama, apa sahaja perlu mengikut kesesuaian dan keputusan negeri masing-masing.
“Apabila diumumkan Dr Zulkifli, ia melibatkan Wilayah Persekutuan sahaja kerana Yang di-Pertuan Agong merupakan Ketua Agama manakala di negeri-negeri ialah di bawah kuasa Sultan negeri.
“Cuma apa yang kami harap apabila SOP diumumkan, ia boleh diguna pakai negeri lain sebagai panduan,” katanya.
Tambahnya, negeri-negeri berhak membuat keputusan sendiri mengikut kesesuaian.
BACA: Lima tumpuan dalam kenyataan media Ismail Sabri hari ini
BACA: 519 individu ditahan, gagal patuh SOP - Ismail Sabri
#Majlis Pernikahan #SOP #prosedur operasi standard #Majlis Keselamatan Negara #MKN #sidang khas #ismail sabri yaakob #Menteri Kanan Pertahanan #Yang di-Pertuan Agong #Dr Zulkifli Mohammad Al-Bakri #Menteri di Jabatan Perdana Menteri
;