Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) diaktifkan semula
Kenyataan Media
Jun 29, 2020 22:08 MYT
Jun 29, 2020 22:08 MYT
Kerajaan memutuskan untuk mengaktifkan semula Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) yang ditubuhkan pada tahun 2016 berkuat kuasa serta merta.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed memaklumkan, keputusan mengaktifkan semula MySPC dibuat semasa Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) ke-13 yang dipengerusikan Perdana Menteri.
"Mesyuarat EAC itu antara lain membincangkan isu dan cabaran sistem perlindungan keselamatan sosial bukan sahaja dalam mendepani krisis COVID-19 tetapi juga untuk masa akan datang," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.
MYSPC ditubuhkan untuk menyelaras agenda kesejahteraan sosial yang holistik dan bersepadu dengan kali terakhir ia bermesyuarat adalah pada Disember 2019.
Mengulas lanjut, Mustapa berkata MySPC yang diaktifkan semula akan merangkumi empat teras strategik iaitu bantuan sosial, insurans sosial, intervensi pasaran buruh dan data serta tadbir urus.
EAC yang ditubuhkan pada 11 Mac 2020 merupakan badan tertinggi kepada Kerajaan bertujuan mengenal pasti dan menganalisis perkembangan terkini ekonomi, mengumpul maklum balas serta mencadang dan melaksanakan langkah penyelesaian bagi menangani isu dan cabaran semasa ekonomi termasuk meningkatkan keyakinan pelabur tempatan dan luar negara.
EAC juga memantau impak penularan wabak COVID-19 ke atas ekonomi serta merangka strategi yang bersesuaian bagi memulih dan merancakkan semula ekonomi.
"Selaras dengan ciri EAC yang bersifat terbuka dan sentiasa mengambil kira pandangan semua pihak, sekretariat bersama EAC di bawah Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri telah mengadakan banyak sesi libat urus dengan pemegang taruh terutamanya sektor swasta untuk mengenal pasti isu yang dihadapi serta membincang secara terperinci pendekatan yang bersesuaian bagi menangani isu tersebut.
"Wakil sektor dalam sesi libat urus yang dilaksanakan termasuklah dewan perniagaan, persatuan, badan profesional serta pemain daripada 27 industri merentasi semua sektor seperti ekonomi digital, pendidikan, pelaburan, pembuatan, perusahaan kecil dan sederhana, pelancongan, pengangkutan dan kesihatan," kata Mustapa.
Beliau berkata, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri juga turut mengadakan sesi libat urus bagi mendapatkan input daripada pihak industri, terutamanya berkaitan isu dan cabaran perdagangan dan pelaburan.
"Fokus Kerajaan pada masa ini adalah memastikan pelaksanaan pelan pemulihan pasca COVID-19 untuk jangka pendek dan sederhana memberikan kesan positif serta merancakkan semula ekonomi negara termasuk peningkatan perbelanjaan isi rumah, pemulihan sektor pelancongan dan menggalakkan pelaburan," katanya.
Katanya, Pelan Jangka Panjang Pemulihan Ekonomi Pasca COVID-19 pula sedang dirangka dan akan dibentangkan dalam masa terdekat.