Majlis Penasihat: 'Ambil pandangan dan kepakaran Tun M' - Dr Atory
Wan Syamsul Amly
November 14, 2015 16:30 MYT
November 14, 2015 16:30 MYT
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diminta mengambil pandangan Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai penubuhan Majlis Penasihat yang boleh membantu dalam penambahbaikan pemerintahan negara secara keseluruhannya.
Penganalisis politik, Prof Dr Ahmad Atory Hussain berkata, pengalaman bekas perdana menteri itu juga dilihat menyentuh aspek menyeluruh selain tidak mempunyai kepentingan peribadi.
"Seharusnya pandangan golongan veteran diambil, pandangan mereka perlu didengar walaupun tidak semestinya diambil tindakan.
"Mereka ini ada pengetahuan dan pengalaman. Pandangan mereka juga menyeluruh dan mempunyai aspek sejarah selain tidak mempunyai kepentingan tersendiri tetapi nasional.
"Tentunya pandangan mereka ini perlu diambil iktibar sebelum pihak pimpinan buat keputusan. Golongan ini mempunyai kepakaran dan pengalaman yang banyak. Mereka juga tidak ada kuasa," katanya semasa dihubungi di sini hari ini.
Dr Atory mengulas kenyataan Najib pada Jumaat yang menolak cadangan Dr Mahathir untuk menubuhkan sebuah Majlis Penasihat yang akan menasihati Perdana Menteri dalam urusan pentadbiran.
Tegas Najib, mana-mana majlis yang tidak diputuskan oleh rakyat boleh dianggap sebagai tidak demokratik dan tidak mengikut Perlembagaan.
Dalam pada itu jelas Dr Atory, konsep Majlis Penasihat sebenarnya sudah diaplikasikan pada zaman bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein lagi.
"Pada zaman Tun Razak lagi sudah ada beberapa pesara dari Amerika Syarikat (AS) yang diambil untuk menasihati Kerajaan dalam pentadbiran dan hasilnya memberi kesan positif kepada negara.
"Itu dahulu, semasa negara masih tidak mempunyai kepakaran. Namun pada masa sekarang kita sudah mempunyai veteran yang benar-benar berpengalaman, jadi mereka yang berstatus veteran ini boleh memberi nasihat kepada pentadbiran negara kini.
"Ada meritnya jika pandangan mereka ini diambil kira. harus diingat orang muda sekarang tidak mempunyai selok-belok dan kepakaran latar belakang sesuatu isu," ujarnya.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, cadangan Dr Mahathir itu tidak ada dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan ia bertentangan dengan sistem kerajaan Westminster.
Salleh berkata Dr Mahathir juga pernah mengilhamkan konsep majlis penasihat presiden pada 2008.