Majlis Pekerjaan tangani isu pengangguran, wujud peluang pekerjaan baharu - Muhyiddin

Madiha Abdullah
November 7, 2020 21:46 MYT
Muhyiddin berkata, majlis itu akan memberi tumpuan terhadap program peningkatan kemahiran dan pemahiran semula bagi menjana peluang pekerjaan baharu. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Majlis Pekerjaan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyasarkan untuk mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan baharu dalam pelbagai sektor.
Menjelaskan mengenai penubuhan majlis itu yang disebut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat pada Jumaat, Muhyiddin berkata, ia akan turut disertai oleh pihak swasta.
Katanya, antara lain majlis itu akan menumpukan kepada program peningkatan kemahiran dan pemahiran semula bagi menjana peluang pekerjaan baharu.
"Saya bersama beberapa menteri lain, termasuklah pihak swasta yang pakar dan mahir, akan duduk berbincang untuk dapatkan cadangan dan nasihat tentang apakah langkah yang perlu dilakukan supaya peluang pekerjaan dapat diadakan.
"Kita telah mulakan latihan bagi golongan yang mungkin sudah tidak ada pekerjaan... dan membolehkan mereka diberi latihan bagi disesuaikan dengan pekerjaan yang akan kita cipta," katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI Khas Bersama Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Sabtu.
BACA: Pembangkang akan dipelawa bersama kerajaan dalam buat keputusan - Muhyiddin
BACA: Kerajaan fokus bantu usahawan Bumiputera untuk seimbangkan ekonomi - PM
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, penubuhan majlis itu merupakan satu langkah ke hadapan bagi memastikan isu pengangguran dapat ditangani dengan baik.
"Pengangguran dalam kalangan siswazah atau dalam kalangan mereka yang diberhentikan perlu diatasi dan latihan-latihan ini akan membolehkan mereka ditempatkan di sektor-sektor tertentu," katanya.
#Muhyiddin Yassin #Perdana Menteri #Majlis Pekerjaan #pengangguran #siswazah #pekerjaan #Belanjawan 2021 #peluang pekerjaan baharu
;