Majlis Peguam tidak harus berdiam dalam kes hakim bersara wakili Anwar - Tan

Astro Awani
Oktober 31, 2014 13:21 MYT
Majlis Peguam Malaysia tidak harus berdiam dalam kes hakim bersara mewakili Anwar - Gerakan
Pemuda Parti GERAKAN hari ini mendesak Majlis Peguam Malaysia (MPM) agar tidak mengambil sikap berdiam diri berhubung tindakan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes liwatnya yang sedang berlangsung.
Walaupun Presiden MPM Christopher Leong, dalam satu kenyataan, berkata bahawa Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa tiada yang salah dengan amalan tersebut, ia dilihat bercanggah dengan resolusi melarang hakim yang telah bersara dari bidang kehakiman beramal seperti yang telah diluluskan oleh MPM pada 15 Mac lalu.
“Sebagai Ketua Pemuda GERAKAN dan ahli MPM, saya berpendapat tindakan MPM tidak mengulas lanjut perkara ini semasa pendengaran rayuan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim satu perkara yang mengganggu,” ulas Tan Keng Liang dalam satu kenyataan hari ini.
“Saya bersetuju memang tidak ada undang-undang yang melarang hakim bersara untuk beramal di mahkamah. Namun, ia tidak seharusnya dijadikan alasan oleh MPM untuk tidak membantah pelantikan hakim bersara untuk mewakili ketua pembangkang.”
Tambahnya, dalam hal yang melibatkan tuduhan hasutan pada bulan Oktober, MPM dengan segera membuat bantahan menerusi kenyataan akhbar, perarakan dan mengemukakan memorandum kepada kerajaan.
Tindakan terbabit dibuat walaupun undang-undang di bawah Akta Hasutan yang membenarkan pendakwaan ke atas kenyataan-kenyataan berunsur hasutan sudah sedia ada.
Pada waktu yang sama, Tan berkata Pemuda GERAKAN tetap mengambil pendirian bahawa Akta Hasutan perlu dimansuhkan dan digantikan dengan Akta Keharmonian Nasional yang disifatkan lebih progresif.
“Adalah menghairankan kenapa MPM memilih untuk tidak membuat perkara yang sama sekarang, dalam kes pelantikan hakim bersara sebagai peguam untuk pemimpin pembangkang.”
“Saya menyeru MPM untuk tidak terlibat dalam hal politik dan segera membantah mengenai perkara ini (sama seperti dalam kes hasutan ) tanpa mengambil kira siapa yang terlibat. MPM tidak harus memilih untuk berdiam diri dalam kes melibatkan pemimpin pembangkang .”
BACA KENYATAAN PENUH KETUA PEMUDA GERAKAN
#Majlis Peguam Malaysia #Pemuda Parti Gerakan Rakyat Malaysia #Tan Keng Liang
;