Majlis Peguam perlu bertanggungjawab - G100

Astro Awani
Mac 12, 2015 16:47 MYT
Kumpulan G100 membidas Majlis Peguam atas dakwaan gagal menjelaskan salah faham undang-undang dan mempertahankan nama baik sistem kehakiman. -Gambar fail
Sekumpulan 100 peguam yang dikenali sebagai G100 hari ini membidas Majlis Peguam atas dakwaan gagal dalam tugasnya menjelaskan salah faham undang-undang dan mempertahankan nama baik sistem kehakiman negara.
Jurucakap G100, Lukman Sheriff Alias dalam satu kenyataan berkata mereka memberi tempoh sehingga akhir hari ini kepada Majlis Peguam untuk memberikan respon, dan sekiranya gagal, badan itu akan dipertanggungjawabkan.
"Moto mereka, pemerintahan pro undang-undang dan pro keadilan akan hanya dilihat sebagai propaganda tidak tahu malu.
"Kami percaya Majlis Peguam akan berbuat sesuatu mengenainya," katanya di dalam satu kenyataan hari ini.
Lukman berkata demikian semasa merujuk kepada usul yang difailkan di Parlimen pada Rabu oleh Pakatan Rakyat, untuk mengecam lima Hakim Mahkamah Persekutuan di dalam kes Liwat II ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
NGO itu turut menyatakan bahawa usul itu berbunyi: "Keputusan mahkamah ini bukan biasa, tidak disokong oleh undang-undang dan tiada logiknya "
G100 juga menyebut reaksi Majlis Peguam yang berkata Anwar telah disabitkan atas satu kesalahan yang tiada mangsa terlibat.
"G100 mendapati kenyataan ini sangat menghina kepada badan kehakiman."
#G100 #lukman sheriff alias #Majlis Peguam #sistem kehakiman
;