Majlis Peguam mengutuk keras peguam langgar undang-undang
Astro Awani
November 28, 2018 20:47 MYT
November 28, 2018 20:47 MYT
Majlis Peguam Malaysia mengutuk keras pembabitan mana-mana peguam dalam perbuatan yang menyalahi undang-undang, yang dianggap sebagai tindakan salah laku profesional dan perlanggaran etika profesional yang serius.
Presidennya George Varughese dilaporkan berkata, pihaknya meneliti dengan penuh prihatin kenyataan Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa ada peguam yang terlibat dalam insiden kekecohan di kuil Sri Maha Mariamman.
Menurut Muhyiddin, peguam yang mewakili One City Development Sdn Bhd, syarikat pemaju tanah di mana terletaknya kuil itu, mengupah sekumpulan lelaki untuk menceroboh dan mengawal kuil tersebut yang terletak di USJ 25, Putra Heights, Subang Jaya.
"Majlis Peguam menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan rapi terhadap sebarang salah laku.
"Jika ada bukti atau salah laku profesional, pihak kami akan membuat aduan segera kepada Lembaga Tatatertib Peguam Bela dan Peguam Cara (ASDB)," George berkata dalam satu kenyataan hari ini, seperti dipetik Bernama.
"Ia akan menjadi tanggungjawab ASDB - badan bebas Majlis Peguam, yang ditubuhkan bagi menyiasat salah laku profesional - untuk mengadili perkara itu dan melaksanakan hukuman disiplin yang sesuai," tambahnya.
Beliau berkata, Majlis Peguam sedia menghulur bantuan kepada pihak berkuasa dalam siasatan perkara itu.
#ASDB
#disiplin
#George Varughese
#Hukuman
#kekecohan
#kuil
#Lembaga Tatatertib
#Majlis Peguam Malaysia
#Muhyiddin Yassin
#peguam
#salah laku
#siasatan
#Sri Maha Mariamman
#Subang Jaya
#undang-undang