Majlis Mineral Negara diaktifkan semula - Shamsul Anuar

Irwan Muhammad Zain
November 27, 2020 14:15 MYT
Shamsul berkata, MMN akan bertindak sebagai platform penyelarasan dasar dan menangani isu-isu berkaitan pembangunan industri mineral di negara ini. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju mengaktifkan kembali Majlis Mineral Negara (MMN) kerana potensi sektor mineral dalam negara, kata Menteri Tenaga Dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.
Dalam satu kenyataan, Shamsul Anuar berkata, banyak sumber mineral semula jadi negara yang belum diterokai.
Beliau berkata, MMN akan bertindak sebagai platform penyelarasan dasar dan menangani isu-isu berkaitan pembangunan industri mineral di negara ini.
“Pada masa yang sama, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) juga sedang membangunkan Pelan Transformasi Industri Mineral Negara 2021-2030 (TIM 2021-2030)
“Ia merupakan satu dasar utama bertujuan untuk meningkatkan daya saing industri mineral dalam setiap rantaian nilai.
“Pelan ini juga akan menggariskan strategi dan pelan tindakan untuk menggerakkan industri-industri sokongan yang mampu menjadi penyumbang utama kepada ekonomi negara dan mengurangkan pengeksportan bahan mineral dan batuan secara mentah,” katanya.
Menurut Shamsul Anuar, hala tuju baharu pembangunan industri mineral negara akan menekankan kepada kelestarian dan kepentingan pemeliharaan alam sekitar.
“Oleh itu, beberapa Prosedur Operasi Standard (SOP) telah dibangunkan dimulai dengan dokumen SOP Bauksit Negeri Pahang, Terengganu dan Johor telah digunapakai,” katanya lagi.
Beliau menjelaskan, KeTSA sedang memuktamadkan satu lagi Prosedur Operasi Standard (SOP) berkaitan Perlombongan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE).
Katanya, SOP ini menggariskan prosedur dan amalan terbaik aktiviti perlombongan NR-REE yang merangkumi tiga fasa iaitu pra, semasa dan pasca perlombongan.
“KeTSA juga dalam tindakan melaksanakan pengezonan kawasan sumber mineral agar industri mineral dapat terus dibangunkan tanpa menjejaskan komitmen 50 peratus daripada keluasan tanah negara dikekalkan sebagai kawasan berhutan dan dilitupi pokok-pokok,” katanya.
#Majlis Mineral Negara #MMN #ekonomi #nilai #ketsa #Shamsul Anuar Nasarah
;