Majlis Media perlu bebas meskipun kos operasi dibiayai kerajaan - Uni

Bernama
Februari 15, 2024 08:50 MYT
Mohd Shukri (lima, kanan) bersama Uni (enam, kiri) dan delegasi media Malaysia ketika sesi lawatan ke IDN Times pada Program Jejak Serumpun ISWAMI di Jakarta, 14 Feb 2024. -- fotoBERNAMA
JAKARTA: Sesebuah Majlis Media perlu bersifat bebas meskipun kos pengoperasiannya dibiayai kerajaan, kata Ketua Pengarang IDN Times Uni Lubis.
Beliau berkata institusi kewartawanan yang bebas dan profesional adalah penting bagi landskap demokrasi sesebuah negara selaras peranannya sebagai 'The Fourth Estate'.
"Meskipun operasinya menggunakan belanjawan negara tetapi institusi itu perlu bebas dari sebarang intervensi pihak luar termasuk pemerintah. Maka, Pers Council (Majlis Media) itu perlu menjadi lembaga bebas tertinggi yang menguruskan wartawan.
"Seperti di Indonesia di mana operasi (Dewan Pers) dari belanjawan negara tetapi ia bebas. Kerana dana itu bukan dari duit presiden sebaliknya wang rakyat dan pembayar cukai. Jadi tidak mengapa. Kerana pers (media) yang merdeka, profesionalisme itu penting bagi sesebuah demokrasi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam sesi lawatan Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) Malaysia yang disertai seramai 15 wartawan ke Ibu Pejabat IDN Times sempena Program Jejak Serumpun, semalam.
Berkongsi mengenai peranan wartawan pada Pemilihan Presiden Indonesia dalam Pemilihan Umum (Pemilu) 2024 , Uni berkata industri media di negara itu dilihat telah memainkan peranan dengan baik melalui penghasilan berita yang cukup kritis.
Beliau berkata dengan dominasi media sosial dalam Pemilu 2024, peranan media dilihat semakin penting dalam menghasilkan liputan bagi calon presiden dan anggota legislatif, termasuk menyemak informasi di media sosial.
Terdahulu, Delegasi ISWAMI Malaysia turut hadir menyaksikan proses mengundi bagi Pemilu 2024 di pusat pengundian 060 Lebak Sulus di Jakarta Selatan.
Wartawan Malaysia turut melakukan liputan di pusat pengundian berkenaan yang menjadi pusat mengundi bagi calon presiden Indonesia Anies Baswedan sebelum mengadakan sesi temu bual khas di kediamannya di sekitar pusat mengundi itu.
Siri lawatan ini diketuai Setiausaha Agung ISWAMI Malaysia yang juga Ketua Penyiaran (TV dan Radio) Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Mohd Shukri Ishak.
ISWAMI adalah forum wartawan Malaysia-Indonesia yang ditubuhkan pada 2003 sebagai jambatan kepada hubungan media Malaysia dan Indonesia, berperanan membina kemakmuran bersama kedua-dua negara rumpun Nusantara.
-- BERNAMA
#Majlis Media #Uni Lubis #Kebebasan Media #Iswami
;