Majlis Media Malaysia mampu selesai aduan di luar mahkamah, berdasarkan kod etika - Penganalisis

Irfan Faruqi
Mac 4, 2025 21:47 MYT
Penganalisis berpandangan Majlis Media Malaysia boleh menjadi platform menjernihkan pertikaian berdasarkan kod etika. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Penubuhan Majlis Media Malaysia boleh mempercepatkan penyelesaian sebarang aduan yang dikemukakan kepada mana-mana pertubuhan media dalam negara.

Ringkasan AI
  • Penyelesaian Aduan Media: Penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM) dapat mempercepatkan penyelesaian aduan terhadap pertubuhan media tanpa perlu melalui proses mahkamah.
  • Kod Etika dan Parameter: Majlis ini perlu segera menerbitkan kod etika dan parameter yang jelas untuk panduan organisasi media dalam menangani aduan.
  • Pengurangan Pertikaian: Dengan adanya MMM, isu-isu berbangkit dapat diselesaikan di peringkat majlis tanpa dibesar-besarkan, mengurangkan pertikaian yang tidak perlu.

Penganalisis berpandangan ia boleh dicapai memandangkan Majlis berkenaan boleh menjadi platform menjernihkan pertikaian berdasarkan kod etika ditetapkan tanpa melalui proses mahkamah.
Jurucakap Gerakan Media Merdeka (Geramm), Radzi Razak berkata, keupayaan mengambil tindakan terhadap dikemukakan terhadap media membolehkan isu-isu berbangkit tidak dibesar-besarkan secara berlebihan.
“Kita ada satu Majlis Media yang akan memutuskan perkara-perkara yang berkaitan dengan media. Kita boleh katakan tidak akan ada lagi masalah pengarang di telefon pada pukul 3 pagi dengan permintaan untuk menurunkan siaran berita.
“Selain itu, mungkin berlaku penerbitan gambar yang tidak beretika sehingga menyebabkan orang awam ingin saman organisasi berita.
“Contohnya melibatkan penerbitan gambar sebuah kemalangan yang teruk sehingga pihak keluarga bertindak menyaman media berkenaan.
“Perkara-perkara ini boleh dielakkan, dengan diselesaikan di satu tahap iaitu di peringkat Majlis Media Malaysia sahaja. Tidak perlu bergaduh diluar,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Selasa.
Lanjutan itu, dalam temu bual yang sama, Perunding Media, Dr. G. Manimaran berkata Majlis berkenaan perlu segera menerbitkan parameter dan kod etika yang jelas sebagai panduan kepada organisasi media di Malaysia.
“Perkara yang penting ialah Seksyen 15 dan 16, Majlis (Media Malaysia) ini akan mewujudkan satu kod etika dan parameter mengenai kaedah sesuatu aduan boleh dibuat.
“Apakah mekanisme untuk mendengar aduan tersebut? Dan sekiranya memang wujud kekurangan, bagaimana ia akan dibetulkan? Adakah dalam bentuk hukuman atau teguran?” ujarnya.
Pada 26 Februari lalu, Dewan Rakyat telah meluluskan penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM) melalui kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia 2024.
Agenda AWANI: Penubuhan Majlis Media Malaysia
#Majlis Media Malaysia #Media #mahkamah #pertikaian
;