Majlis Ekonomi Kitaran Nasional sisa pepejal percepat agenda ekonomi kitaran

Bernama
September 7, 2023 14:33 MYT
Nga berkata penubuhan majlis itu diluluskan mesyuarat Jemaah Menteri pada 23 Ogos lepas dan merupakan inisiatif berimpak tinggi dalam pengurusan sisa pepejal negara. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
PUTRAJAYA: Majlis Ekonomi Kitaran Nasional (NCEC) bagi sisa pepejal ditubuhkan bagi mempercepat agenda peralihan pengurusan sisa pepejal daripada ekonomi linear kepada ekonomi kitaran secara holistik.
Mengumumkannya pada sidang media di sini hari ini, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata penubuhan majlis itu diluluskan mesyuarat Jemaah Menteri pada 23 Ogos lepas dan merupakan inisiatif berimpak tinggi dalam pengurusan sisa pepejal negara.
"Peralihan kepada ekonomi kitaran boleh memanfaatkan sisa, mengoptimumkan kitaran hayat produk serta meningkatkan penggunaan sumber bagi mengurangkan jumlah janaan sisa," katanya majlis itu juga menjadi satu platform nasional menyatukan semua pihak berkepentingan dalam sektor ekonomi berkenaan.
Nga berkata pengurusan sisa berdasarkan ekonomi linear, dengan bahan mentah digunakan untuk menghasilkan sesuatu produk dan produk itu kemudiannya digunakan dan dilupuskan di tapak pelupusan setelah digunakan, memberi kesan kepada alam sekitar selain sumber yang ada akan berkurangan serta tidak bersifat mampan.
Beliau berkata enam elemen akan menjadi fokus bagi menyokong ekosistem ekonomi kitaran antaranya membangun pasaran dan permintaan terhadap bahan kitar semula dan mereka bentuk produk yang dapat mengoptimumkan kitaran hayat melalui penggunaan semula, kitar semula dan mesra alam.
"Tumpuan juga diberikan terhadap menggalakkan pengasingan sisa di punca dan menambah baik sistem kutipan sisa pepejal, menyediakan kemudahan infrastruktur dan insentif yang bersesuaian, membangun sistem data yang bersepadu serta mewujudkan platform kerjasama awam, swasta dan komuniti," katanya.
Nga berkata satu pelan tindakan sedang dibangunkan oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebagai rujukan utama kepada pihak berkepentingan dengan NCEC akan menjadi medium penyelarasan dan pemantauan pelaksanaan pelan tindakan yang akan digariskan.
Beliau berkata pengurusan sisa pepejal berkonsepkan ekonomi kitaran juga berpotensi merancakkan aktiviti ekonomi masyarakat melalui kewujudan peluang perniagaan baharu apabila permintaan dan pasaran barangan kitar semula meningkat.
"Lebih banyak peluang pekerjaan juga akan ditawarkan dalam rantaian nilai ekonomi kitaran seperti reka cipta, aktiviti kitar semula dan pembuatan semula,' katanya ia juga mampu mengurangkan impak negatif terhadap alam sekitar.
Menurut Nga pada 2015 kadar kitaran sampah hanyalah 15 peratus dan kini mencapai 33.17 peratus, manakala sasaran Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara adalah 40 peratus menjelang 2025.
"Kita masih di bawah paras dan masih belum mencapai penanda aras antarabangsa iaitu antara 60 hingga 70 peratus dan itu sebabnya kita nak percepat pelaksanaan inisiatif ini dan kita perlu kerjasama semua pihak," katanya.
Nga berkata sasaran baharu kitaran sampah akan ditentukan dalam mesyuarat pertama majlis tersebut pada Disember depan.
-- BERNAMA
#Majlis Ekonomi Kitaran Nasional #Nga Kor Ming #NCEC #sisa pepejal
;