Majlis Ekonomi Digital: Enam kluster dikenal pasti sebagai komponen penggerak

Faris Danial Razi
November 10, 2020 21:05 MYT
Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara akan mengambil alih peranan hampir semua jawatankuasa berkaitan digital dan teknologi yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini. - Facebook
KUALA LUMPUR: Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara akan mengambil alih peranan hampir semua jawatankuasa berkaitan digital dan teknologi yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri pada Selasa, sebanyak enam kluster telah dikenal pasti sebagai komponen penggerak agenda ekonomi digital dan 4IR yang akan dipengerusikan oleh menteri berkaitan.
Kluster tersebut adalah seperti berikut:
i. Ekonomi (dipengerusikan oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri);
ii. Bakat Digital (dipengerusikan oleh Datuk Seri M Saravanan, Menteri Sumber Manusia);
iii. Masyarakat (dipengerusikan oleh Datuk Seri Rina Mohd Harun, Menteri Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat);
iv. Infrastruktur Digital dan Data (dipengerusikan oleh Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Komunikasi dan Multimedia);
v. Teknologi Baru Muncul (dipengerusikan oleh Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi); dan
vi. Kerajaan (dipengerusikan oleh Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Setiausaha Negara).
Menurut kenyataan tersebut, sebuah Jawatankuasa Pemandu yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) juga diwujudkan.
“Ia bagi memacu kolaborasi antara pelbagai kementerian dan agensi serta pihak swasta dalam merealisasikan agenda ekonomi digital dan 4IR yang berpandukan halatuju pihak Majlis.
“Semua Ketua Setiausaha / Ketua Pengarah yang terbabit dengan keenam-enam kluster dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Pemandu mewakili Pengerusi Kluster masing-masing,” jelasya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri semasa mempengerusikan mesyuarat menekankan bahawa digitalisasi adalah satu budaya yang kini menjadi antara norma baharu yang perlu diarusperdanakan di semua peringkat termasuk dalam sektor kerajaan, swasta dan masyarakat.
“Justeru, perancangan, penyelarasan dan pemantauan dasar di peringkat kebangsaan adalah amat penting serta perlu diberi perhatian.
“Pandemik COVID-19 menuntut Kerajaan mempercepatkan pembangunan teknologi 4IR dan pelaksanaan ekonomi digital.
“Sehubungan itu, negara memerlukan suatu dasar yang jelas, usaha dan tindakan bersepadu serta kerjasama yang erat antara semua pihak atau whole-of-nation approach,” tambah kenyataan itu.
Sementara itu, penubuhan Majlis ini dengan struktur tadbir urus yang bersepadu bakal meningkatkan keupayaan negara dalam mengoptimumkan perkembangan teknologi 4IR dan memastikan pertumbuhan ekonomi digital sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Agenda Pembangunan Mampan 2030.
#Majlis Ekonomi Digital #Muhyiddin Yassin #Perdana Menteri #Saifuddin Abdullah #Mustapa Mohamed #Azmin Ali #Khairy Jamaluddin #pandemik #COVID-19 #ekonomi #4IR
;