Majlis daerah jangan tembak haiwan liar sesuka hati - Ismail Sabri

Hasimi Muhamad
November 18, 2024 18:48 MYT
Ismail Sabri berkata, Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang diluluskan di Dewan Rakyat telah 'mengikat' majlis daerah dalam mengambil tindakan terhadap haiwan-haiwan terbiar atau liar. - Foto fail/ BERNAMA
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini membangkitkan isu kekejaman dan penganiayaan terhadap haiwan di Dewan Rakyat.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bera berharap pihak majlis daerah tidak menembak haiwan liar sesuka hati tanpa sebab yang munasabah dan dibenarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
Jelas beliau, Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang diluluskan di Dewan Rakyat telah 'mengikat' pihak majlis daerah dalam mengambil tindakan terhadap haiwan-haiwan terbiar atau liar.
"Apa yang berlaku sekarang ini banyak dalam kalangan majlis daerah atau pihak berkuasa tempatan (PBT) yang menggunakan undang-undang kecil mereka dalam membunuh ataupun menembak haiwan-haiwan liar.
"Saya ingin menyatakan bahawa, oleh kerana Akta Kebajikan Haiwan ini diluluskan di Parlimen... akta ini mengikat majlis daerah dan sebagainya dari segi tindakan.
"Walaupun mereka ada undang-undang kecil tetapi undang-undang kebajikan haiwan diluluskan di Parlimen, Maka bermakna ia lebih tinggi daripada undang-undang kecil majlis daerah," katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.
Ismail Sabri berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 melibatkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi peringkat jawatankuasa.
Berbahas lanjut, beliau menambah walaupun sudah wujud akta yang jelas tetapi statistik Jabatan Perkhidmatan Veterinar menunjukkan lebih 7,600 aduan penderaan haiwan diterima sejak tahun 2021 sehingga hari ini.
Daripada jumlah tersebut, Ismail Sabri berkata sebanyak 3,334 kes direkodkan di Selangor.
"Jadi saya ingin tahu, adakah Jabatan Perkhidmatan Veterinar yang menguatkuasakan akta ini mampu untuk menghalang kekejaman atau pembunuhan kepada haiwan-haiwan ini?," soal beliau lagi.
Ismail Sabri menjelaskan, mengikut Seksyen 30 Akta Kebajikan Haiwan 2015, tiada seorang pun boleh membunuh dengan menembak menggunakan senjata api mana-mana anjing, kucing atau haiwan lain yang ditetapkan oleh menteri melalui pemberitahuan dalam warta, melainkan jika ia dibenarkan oleh pihak berkuasa seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar dalam hal kecemasan atau bagi maksud kawalan penyakit.
Sehubungan itu, beliau mengemukakan beberapa cadangan kepada kerajaan termasuk mengkaji semula atau meminda Akta Kebajikan Haiwan 2015.
"Kedua, semua majlis daerah ataupun PBT tidak bertindak menembak berdasarkan undang-undang kecil mereka.
"Ketiga, banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyediakan tempat tinggal kepada haiwan-haiwan yang terbiar. Jadi, saya harap pihak majlis daerah bekerjasama dengan NGO berkenaan bagi menjaga haiwan dengan menyediakan tempat perlindungan," katanya.
Dalam masa sama, Ismail Sabri membangkitkan persoalan berapa ramai kakitangan Jabatan Perkhidmatan Veterinar yang dilantik untuk menguatkuasakan Akta Kebajikan Haiwan 2015.
Jika pihak berkenaan tidak berkemampuan untuk melaksanakan akta tersebut, Ismail Sabri berharap kerajaan boleh mempertimbangkan untuk mewujudkan satu jawatankuasa khusus atau menyerahkan kepada pihak berkuasa lain dalam menguatkuasakan Akta Kebajikan Haiwan 2015.
"Saya harap kes-kes kekejaman kepada haiwan dapat dikekang seperti yang berlaku di Sabah... seorang lelaki menyepak dan memukul sehingga mati haiwan. Begitu juga di Selayang kalau tak silap saya, seekor kucing dimasukkan dalam mesin basuh sehingga mati.
"Perkara ini tanggungjawab kita. Kita marah kerana haiwan itu berkeliaran, mereka berkeliaran kerana tiada tempat tinggal. Kita marah haiwan tersebut menyelongkar tong sampah kita... mereka lakukan itu kerana kelaparan...," ujar Ismail Sabri.
#ismail sabri yaakob #kekejaman terhadap haiwan #pbt #tembak haiwan liar
;