Majlis Belia Daerah Bera beri petrol percuma kepada golongan belia
Azizah Shafiei
Februari 2, 2022 15:30 MYT
Februari 2, 2022 15:30 MYT
BERA: Sebanyak RM4,800 diperuntukkan Majlis Belia Daerah (MBD) Bera bagi menjayakan Program Isi Minyak Percuma kepada golongan belia di daerah ini.
Pengerusinya, Mohd Rosidi Hassan berkata, setiap seorang boleh mengisi petrol secara percuma sehingga maksimum RM5 untuk sebuah motosikal.
Sejak dilancarkan Disember lalu, seramai 500 orang belia di daerah ini telah menikmati kemudahan itu.
"Setakat ini, MBD telah menjalankan program ini di empat lokasi iaitu di sekitar kawasan Felda Sebertak, Tembangau 2, Bukit Mendi dan Triang.
"Ada lima tempat lagi yang belum selesai. Kita laksanakan secara berperingkat di lokasi yang berbeza supaya golongan belia dapat menikmati kemudahan ini," katanya.
Katanya, ia antara usaha MBD untuk membantu golongan belia terutamanya mereka yang terjejas berikutan penularan COVID-19 atau bencana banjir baru-baru ini.
Menurut Mohd Rosidi, walaupun sumbangan ini tidak besar sekurang-kurangnya dapat menggembirakan golongan belia, dan berfikiran positif terhadap MDB yang sentiasa berusaha membantu golongan belia.
"Kita cuba apa yang termampu. Bila kita dapat sedikit bajet, kita buat. Kalau nak puaskan hati semua orang memang kami tak mampu.
"Selepas ini, kita akan rancang program yang lebih baik untuk belia namun kita mengharapkan sokongan dan penglibatan pihak-pihak tertentu untuk membantu," katanya.
Difahamkan, lokasi seterusnya ialah di Bandar Bera, Felda Purun, Kuala Bera, Durian Tawar dan Kemayan.