Majlis Bandaraya, JPJ diberi kuasa alih kenderaan terbiar

Dania Zainuddin
Disember 10, 2018 14:39 MYT
GAMBAR FAIL: Kereta rosak yang tersadai berhampiran Jalan Rejang 2 Setapak Jaya yang telah terbiar lama hingga kelihatan begitu lusuh dan dipenuhi sampah. - Foto BERNAMA
Majlis Bandaraya dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kini diberi kuasa untuk mengalihkan kenderaan terbiar selepas proses penyahdaftaran dilakukan.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata pelaksanaan ini akan bermula selepas pindaan rang undang-undang pengangkutan jalan yang dijangka diluluskan pada Januari 2019.
“Pindaan ini melibatkan proses menambah baik pendaftaran dan pembatalan pendaftarakan kenderaan, kerana sebelum ini banyak tempat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di bandar-bandar besar ada masalah kenderaan terbiar di kawasan perumahan.
“PBT ada masalah untuk mengalihkan kenderaan kerana pendaftaran masih hidup, jadi kita mahu mewujudkan proses memudahkan proses penyahdaftaran di mana PBT boleh lupuskan kenderaan itu dengan kadar segera,” kata Anthony dalam satu sidang media di bangunan Parlimen, pada Isnin.
Selain itu, pindaan ini turut membenarkan pihak Majlis Bandaraya untuk mewujudkan warden lalu lintas.
“Ada beberapa Majlis Bandaraya yang telah memohon untuk menubuhkan warden lalu lintas, khususnya Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang yang mereka telah meminta sebelum ini.
“Namun sebelum ini kita tidak ada peruntukkan dalam undang-undang yang dapat membenarkan pelaksanaan tersebut. Oleh itu, selepas ini, sembilan Majlis Bandaraya, iaitu Majlis Bandaraya Ipoh, Majlis Bandaraya Alor Setar, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Johor Bahru, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah,Majlis Bandaraya Kuala Terengganu dan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri boleh menubuhkan warden lalu lintas ini.
“Kita harap warden lalu lintas ini dapat menjaga lalu lintas di kawasan masing-masing,” kata Anthony.
Rang Undang-undang (RUU) Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2018 dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.
Sementara itu, Loke berkata di bawah pindaan baharu itu juga menteri bakal diberikan kuasa untuk menetapkan fi terhadap penggunaan cermin gelap oleh kenderaan.
“Sebelum ini, tiada peruntukan undang-undang untuk kerajaan meletakkan caj atau fi terhadap cermin gelap, cuma menteri diberi kuasa untuk beri pengecualian kepada mana-mana individu melalui surat,” katanya.
RUU berkenaan tidak akan melibatkan perbelanjaan tambahan oleh kerajaan.
#Akta Pengangkutan Jalan #alih kenderaan #Anthony Loke #Jabatan Pengangkutan Jalan #JPJ #Kenderaan Terbiar #Majlis Bandaraya Petaling Jaya #Majlis Bandaraya Pulau Pinang #Menteri Pengangkutan #pbt #pihak berkuasa tempatan #warden lalu lintas
;