Majlis Agama Islam Narathiwat siasat dakwaan Timbalan Menteri nikah dalam talian

Muhafandi Muhamad
Julai 4, 2021 15:12 MYT
Dalam sijil berkenaan memaparkan tarikh pernikahan pada 1 Jun lepas dengan pasangan yang berusia 20an. - Gambar hiasan
KOTA BAHRU: Majlis Agama Islam Wilayah Narathiwat Thailand akan menjalankan siasatan termasuk memanggil seorang imam Masjid Kedai Baru, Sungai Golok yang menjalankan majlis akad nikah secara dalam talian yang didakwa membabitkan seorang Timbalan Menteri di negara ini.
Timbalan Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Wilayah Narathiwat, Abdul Aziz Che Mamat menjelaskan pihaknya tidak pernah mengiktiraf pernikahan secara dalam talian.
"Kita akan panggil imam itu, untuk dapatkan maklumat, ita akan tanyakan perkara itu, kerana majlis agama tidak bagi kebenaran nikah menggunakan telefon (online), " katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Abdul Aziz berkata demikian ketika di minta mengulas satu rakaman pernikahan melalui telefon yang didakwa membabitkan seorang ahli Parlimen Kelantan berserta dua saksi.
Video dan salinan sijil nikah tular di media sosial sejak semalam yang turut mendapat kritikan ramai kerana melangsungkan pernikahan sewaktu rakyat berdepan Perintah Kawalan Pergerakan.
Sijil berkenaan antara lain memaparkan tarikh pernikahan pada 1 Jun lepas dengan pasangan yang berusia 20an.
Ketika ini Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan di selatan Thailand tidak membenarkan sebarang aktiviti rentas negara bagi mengawal penularan wabak COVID-19.
#Sungai Golok #perintah kawalan pergerakan #Thailand #COVID-19 #dalam talian #nikah dalam talian #Timbalan Menteri #nikah online
;