Majikan tidak benarkan kakitangan kuarantin kendiri boleh dikenakan tindakan

Bernama
Mei 10, 2021 17:25 MYT
"Jika didapati ada majikan tidak benarkan kuarantin, ada peruntukan di bawah Akta 342 yang boleh mengenakan penalti terhadap mereka," tegas Dr Adham Baba. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Majikan yang tidak membenarkan kakitangan menjalani kuarantin kendiri sementara menunggu keputusan ujian COVID-19 boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.
Beliau berkata, kakitangan sekiranya positif perlu menjalani kuarantin wajib selama 10 hari manakala yang negatif pula disarankan melaksanakan pengasingan secara sukarela.
"Jika didapati ada majikan tidak benarkan kuarantin, ada peruntukan di bawah Akta 342 yang boleh mengenakan penalti terhadap mereka.
"Tindakan boleh diambil jika majikan tidak membenarkan pekerja mereka sama ada disyaki, berkemungkinan atau sedang diuji menjalani kuarantin kendiri sehingga keputusan diperoleh," katanya pada sidang media bersama Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin mengenai perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di sini, hari ini.
Beliau berkata, amaran dibuat berikutan peningkatan kluster jangkitan COVID-19 berkaitan tempat kerja yang menunjukkan trend peningkatan kebelakangan ini, apabila mencatatkan 44 kluster dari 2 hingga 8 Mei berbanding 24 kluster pada tempoh 25 April hingga 1 Mei.
Menurutnya, situasi membimbangkan itu menunjukkan peningkatan sebanyak 83.3 peratus bagi tempoh tersebut.
Dr Adham berkata, trend peningkatan kes kematian akibat COVID-19 dikesan dalam masa enam minggu iaitu sejak 21 hingga 27 Mac iaitu 22 kes; diikuti masing-masing 35 kes pada dari 28 Mac hingga 3 April dan dari 4 hingga 10 April; 49 kes dari 11 hingga 17 April; 56 kes dari 18 hingga 24 April dan 95 kes dari 25 April hingga 1 Mei.
Sebanyak 1,657 kumulatif kes kematian direkodkan dengan kadar 0.38 peratus pada Sabtu lepas, katanya.
Dr Adham berkata, individu yang melakukan ujian saringan RT-PCR COVID-19 sehingga 8 Mei lepas adalah seramai 9.98 juta orang.
Menurutnya, sebanyak 498,193 ujian dijalankan dari 2 hingga 8 Mei berbanding 480,688 ujian dari 25 April hingga 1 Mei, dan kadar individu yang dikesan positif dari 2 hingga 8 Mei adalah 5.1 peratus. - BERNAMA
#majikan #kakitangan kuarantin kendiri #Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 #COVID-19 #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #Adham Baba #Khairy Jamaluddin
;