Majikan tanggung kos saringan COVID-19 dapat potongan cukai berganda
Bernama
Januari 19, 2021 21:03 MYT
Januari 19, 2021 21:03 MYT
PUTRAJAYA: Majikan yang menanggung kos saringan COVID-19 akan mendapat potongan cukai berganda bagi bayaran kos saringan pekerja yang dibuat sepanjang tahun ini, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
"Individu juga boleh mendapat pengecualian cukai bagi kos saringan," katanya pada taklimat media mengenai pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI), di sini, hari ini.
Tengku Zafrul berkata Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan menanggung kos saringan pekerja asing di zon merah.
Mengenai program i-Sinar, Tengku Zafrul berkata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah bersetuju untuk memudahcarakanya, dengan setakat ini hanya satu peratus permohonan tidak diluluskan.
Berhubung moratorium pula, beliau berkata kadar kelulusan adalah lebih 95 peratus untuk individu manakala bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS), kelulusannya adalah 99 peratus.
"Kita perlu bantu yang paling terkesan. Kalau dibuka kepada semua, sumber tidak akan mencukupi. Lebih baik menyokong yang benar-benar memerlukan daripada menyediakan bantuan menyeluruh merangkumi mereka yang tidak memerlukannya," katanya.
--BERNAMA