Majikan syarikat di Johor digalak beri gaji setimpal ikut kemahiran pekerja
Astro Awani
Oktober 12, 2016 15:10 MYT
Oktober 12, 2016 15:10 MYT
Syarikat-syarikat di Johor khususnya Iskandar Malaysia digalakkan memberikan gaji yang setimpal dengan kemahiran dan pengalaman pekerja.
Ia bagi mengelakkan pekerja mahir dan berpengalaman bekerja di negara jiran, Singapura.
Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Rahamat Bivi Yusoff berkata langkah itu juga menggalakkan pekerja tempatan profesional dan mahir lebih berminat untuk bekerja di negara sendiri.
“Kita galakkan majikan di Johor agar memberi kadar yang sama dengan Singapura. Kalau betul orang (pekerja) itu elok dan syarikat itu perlukan dia, mengapa tidak bayar (pada kadar kompetitif).
“Dalam keadaan ekonomi sekarang ini, mereka akan balik. Sekarang ini ramai orang tengok (nilai) gaji yang dibayar,” ujar beliau.
Jelas Rahamat, pekerja profesional dan mahir sebenarnya berada dalam dilema untuk memilih pekerjaan antara tawaran gaji yang lumayan atau berkhidmat di negara sendiri.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian program Temu Duga Kerjaya Skim Latihan 1 Malaysia (SL1M) peringkat zon selatan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Johor (Persada).
Program SL1M yang berlangsung selama dua hari di Johor turut menyediakan lebih 10,000 peluang pekerjaan di 120 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mengambil bahagian.
Ujar Rahamat, kadar pengangguran graduan meningkat, walaupun berada di bawah 4 peratus.
Katanya, ia bukan disebabkan graduan memilih kerja tetapi tidak banyak kerja yang bersesuaian dengan graduan di samping sikap memilih majikan yang hanya mahukan pekerja berpengalaman berbanding lepasan universiti.