Majikan swasta digalak beri cuti kecemasan kepada pekerja terkesan banjir
Bernama
Disember 19, 2021 19:07 MYT
Disember 19, 2021 19:07 MYT
KUALA LUMPUR: Majikan sektor swasta amat digalakkan memberi cuti kecemasan esok kepada para pekerja yang terkesan akibat banjir.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M.Saravanan berkata dalam menghadapi situasi bencana seperti banjir, majikan sektor swasta diharap dapat memberikan kerjasama dan pertimbangan sewajarnya kepada pekerja-pekerja terjejas.
"Saya menyeru para majikan di sektor swasta menyambut saranan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberikan cuti berbayar kepada pekerja yang terjejas tanpa menolak cuti tahunan dan gaji mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.
Perdana Menteri dalam sidang media di Klang, Selangor hari ini mengumumkan kerajaan bersetuju memberi cuti kecemasan kepada penjawat awam yang terkesan akibat banjir yang kini melanda beberapa negeri.
Perdana menteri turut menyeru majikan swasta supaya mengambil inisiatif sama bagi membantu meringankan beban pekerja yang terkesan bencana itu.
-- BERNAMA
#majikan
#cuti kecemasan
#banjir
#bencana banjir
#Menteri Sumber Manusia
#M Saravanan
#sektor swasta