'Majikan perlu lihat cuti bersalin satu pelaburan bukan bebanan'

Azyyati Ahmad
Oktober 11, 2019 07:59 MYT
MADELINE: Majikan seharusnya tidak melihat isu berkaitan pembangunan keluarga sebagai satu kos. -Astro AWANI
Majikan perlu melihat cuti bersalin 90 hari yang dumumkan dalam Belanjawan 2020 sebagai satu pelaburan dan bukannya bebanan kepada syarikat.
Menurut Penganalisis Ekonomi Bebas, Dr Madeline Berma, majikan seharusnya tidak melihat isu berkaitan pembangunan keluarga sebagai satu kos.
Mengambil contoh negara seperti Rusia, beliau berkata negara luar membenarkan golongan ibu bercuti sehingga tiga tahun dan jawatan berkenaan masih ada untuk mereka sebaik kembali semula bekerja.
“Kita selalu melihat pembangunan keluarga ini satu kos, mengapa kita tidak melihat ini sebagai satu pelaburan.
"Tetapi majikan atau perniagaan sentiasa melihat perkara ini (cuti bersalin) sebagai satu perkara membazir atau untung tak untung,” katanya.
Bersetuju dengan beliau, adalah Pengendali dan Pengasas Dego Ride, Nabil Feisal yang berkata inisiatif ini bagus dalam meningkat produktiviti golongan ibu di tempat kerja.
“Cuti bersalin ini menggalakkan wanita menjadi produktif dalam dalam masa yang sama hidup seperti orang normal.
"Ini masanya syarikat menyediakan kemudahan yang stabil buat pekerja wanita,” katanya.
Mereka berdua berkata demikian dalam mengulas pendapat usahawan kasut Christy Ng berhubung cuti bersalin 90 hari.
BACA: Cuti bersalin 90 hari mungkin rugikan pekerja dari segi perjawatan - Christy Ng
Christy berpendapat bahawa tempoh berkenaan terlalu panjang dan ia boleh menyebabkan wanita tidak dapat bersaing dalam tenaga kerja.
#Belanjawan #Belanjawan2020 #CHRISTY NG #cuti bersalin #Dr Madeline Berma #ekonomi #Penganalisis Ekonomi Bebas #Senangkan Yang Susah #usahawan #wanita
;